Pasang sepanduk 'sentap'

A
A
A

TAIPING - Masih ada individu yang tidak mematuhi arahan di daerah itu walaupun kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) sehingga kini mendapat kerjasama penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah LMS, Mohamed Akmal Dahalan berkata, pihaknya turut memasang beberapa sepanduk peringatan untuk menyedarkan orang ramai supaya terus mematuhi arahan.

Jelas beliau, sepanduk yang dipasang menggunakan perkataan dan ayat sindiran bagi menyedarkan orang ramai tentang bahaya wabak koronavirus (Covid-19).

"Alhamdulillah, saya dapat lihat dengan kerjasama pihak polis, tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT), tahap pematuhan menjadi lebih baik.

"Berdasarkan laporan diterima, kadar pematuhan orang ramai di daerah ini semakin baik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pasar Awam Simpang dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Simpang, di sini hari ini.

Hadir sama pada lawatan itu, Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir dan Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat.

Beliau berkata, dari sudut bantuan pula, semua penghulu di daerah LMS ditugaskan mengagihkan bantuan kotak makanan kepada golongan memerlukan seperti yang ditetapkan kerajaan mengikut kesesuaian lokasi bagi memudahkan penerima mengambil barang tersebut.

Sementara itu, Mohamed Akmal menyambut baik usaha yang dilakukan pihak pengurusan PPR Simpang, di sini dengan mengambil inisiatif membuat saringan kesihatan terhadap setiap penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Di sini, lebih kurang 240 unit dihuni setiap keluarga mempunyai risiko jangkitan kerana kepadatan penduduk. Mereka melaksanakan inisiatif dalaman memeriksa suhu penghuni keluar masuk ke bangunan ini.

"Jadi apabila ada yang dikesan demam, mereka akan diminta mendapatkan rawatan dan pemeriksaan ke klinik kesihatan berhampiran," katanya.

Sementara itu, Osman berkata, kadar pematuhan orang awam di sekitar Taiping melebihi 90 peratus dan secara keseluruhan penduduk mematuhi arahan ditetapkan sepanjang PKP di daerah ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!