Covid-19: Dua peguam dijangkiti Covid-19 beransur pulih
KUALA LUMPUR - Dua peguam dari Badan Peguam Malaysia, yang dilaporkan positif koronavirus (Covid-19), kini berada dalam keadaan beransur pulih, kata presidennya Salim Bashir.
Ketika dihubungi Bernama, Salim berkata, Badan Peguam Malaysia mempunyai hampir 20,000 peguam dan beliau hanya mengetahui mengenai dua peguam berkenaan yang disaring positif Covid-19.
“Badan itu akan memberi bantuan dalam apa bentuk yang boleh mengurangkan masalah yang dihadapi para peguam semasa tempoh sukar ini,” jelasnya.
Salim juga menasihati para peguam agar mengambil langkah perlu untuk sentiasa berada di rumah dan mengurangkan aktiviti berhubung dan terdedah dengan mereka yang dijangkiti virus itu.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan memasuki hari kelapan hari ini dengan orang ramai terus dinasihati agar duduk di rumah bagi membendung penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.
Seiring dengan arahan itu, bangunan mahkamah di seluruh negara ditutup mulai 18-31 Mac.
Setakad semalam, 16 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di negara ini.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!