Sukma: Melaka tunggu keputusan KBS
KERAJAAN Negeri Melaka akur dengan sebarang keputusan Pusat berhubung penganjuran Sukma Malaysia (Sukma) di Johor Julai depan.
Exco Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, keputusan yang akan dibuat Jawatankuasa Tertinggi Sukma khususnya Kementerian Sukan dan Belia yang diketuai Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sudah pasti untuk kesihatan dan keselamatan semua atlet.
Menurutnya, beliau akan berkomunikasi melalui video bersama Ahli Parlimen Kepala Batas petang ini bagi berbincang dan mengetahui lebih lanjut mengenai perjalanan persiapan Sukma sama ada akan ditunda atau sebaliknya ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Melaka akan patuh dengan keputusan kerajaan Pusat dan kita akan bersiap sedia serta tidak akan berkompromi dari segi keselamatan dan faktor kesihatan atlet ini dapat mencipta kejayaan.
"Bagaimanapun kita tunggu keputusan kementerian yang bertanggungjawab dan saya juga akan mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung persiapan atlet-atlet di negeri ini," katanya.
Mohd Rafiq berkata demikian selepas menyampaikan makanan, cecair pembasmi kuman dan topeng mulut dan hidung kepada pesakit serta petugas termasuk jururawat serta doktor di Klinik Kesihatan Cheng di sini, hari ini.
Mohd Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, tempoh PKP yang dilalui masyarakat wajar dimanfaatkan termasuk melakukan sukan seperti senaman ringan bersama keluarga sama ada dalam mahupun di persekitaran rumah.
"Arahan PKP itu tidak membataskan aktiviti sukan yang boleh dilakukan di mana sahaja dan kita harap penularan wabak jangkitan ini akan berkurangan dari semasa ke semasa," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Rafiq berkata, pihak swasta dan NGO disarankan bukan sahaja menyalurkan sumbangan melalui tabung koronavirus (Covid-19) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin malah turun padang mengagihkan sumbangan seperti makanan kepada petugas barisan hadapan.
Mohd Rafiq turut menyampaikan sumbangan di semua klinik dan balai polis dalam DUN itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!