Seorang veteran ATM meninggal dunia akibat Covid -19
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meninggal dunia pada Selasa akibat jangkitan Covid-19.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, veteran berkenaan telah menunjukkan gejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, pada 16 Mac lepas.
“Allahyarham kemudiannya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020,” katanya dalam sidang media khas di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, kesihatan Leftenan Kolonel bersara itu semakin merosot dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk bantuan pernafasan dan disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac lepas.
“Allahyarham disahkan meninggal dunia semalam pada 7.40 malam dan jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Keramat, di sini,” katanya.
Beliau berkata bagi pihak kementeriannya, bayaran khairat kematian sebanyak RM3,000 akan dimasukkan ke dalam akaun waris pada hari ini.
“Balu Allahyarham juga layak menerima pencen terbitan setiap bulan yang akan diuruskan dengan segera.
“Saya mengucapkan takziah kepada waris Allahyarham,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!