Bekalan kurang, harga sayur meningkat di Alor Setar
ALOR SETAR - Bekalan sayur-sayuran yang semakin sukar didapati di daerah ini menyebabkan harganya meningkat susulan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19).
Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharip berkata, ia juga bukan hanya dipengaruhi oleh permintaan, malah sikap panik pengguna baru-baru ini juga turut menyumbang kepada peningkatan harga tersebut.
Menurutnya, kesukaran mendapatkan bekalan itu berlaku kerana segelintir peniaga tidak dapat menjalankan perniagaan disebabkan pemborong tidak dapat menghantar bekalan tersebut ke Pasar Besar Alor Setar.
"Hari ini ramai peniaga sayur mengambil keputusan untuk tidak berniaga buat sementara waktu, malah ada yang tidak berniaga kerana bimbang dengan ancaman Covid-19," katanya yang ditemui pada hari ini.
Beliau berkata, buat masa ini, kira-kira 60 peratus daripada 400 peniaga di pasar itu yang masih meneruskan operasi.
Sementara itu, peniaga sayur-sayuran, Lawrance Thasal berkata, harga barangan keperluan itu sudah mula naik sejak seminggu lalu disebabkan pemborong gagal menghantar bekalan yang cukup selain ditambah oleh faktor musim kemarau.
"Kami tidak dapat halang kenaikan harga ini kerana sayur-sayuran ada yang diimport dari Thailand dan ada yang dari petani tempatan seperti dari Cameron Highlands. PKP membataskan bahan ini untuk sampai ke sini.
"Antara sayur-sayuran yang mengalami kenaikan harga melibatkan cili besar iaitu dari RM8 kepada RM12 sekilogram, tomato (RM3.50 naik kepada RM5 sekilogram), timun (RM1 kepada RM3.50 sekilogram), bunga kubis (RM4 kepada RM6.50 sekilogram), sawi (RM3 kepada RM5 sekilogram) dan lobak putih (RM3.50 kepada RM5 sekilogram)," katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati bekalan ikan dan daging didapati stabil dan harganya masih pada kadar berpatutan.
Seorang peniaga ikan, Nizam Othman, berkata harga ikan yang dijualnya masih lagi stabil disebabkan bekalannya masih mencukupi.
Menurutnya, walaupun bimbang dengan pandemik Covid-19, namun dia masih meneruskan perniagaannya bagi memberi bekalan ikan kepada orang ramai.
"Kami masih lagi memikirkan keperluan pengguna lain kerana mereka datang untuk membeli ikan disebabkan banyak kedai makan yang ditutup.
"Kami pun berisiko (dijangkiti Covid-19) tetapi tetap juga berjihad demi kepentingan orang ramai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!