KKMM perjelas beberapa berita palsu tular dalam media sosial
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan saman RM300 dikenakan jika menaiki kereta lebih daripada seorang dan RM200 sekiranya tidak memakai penutup mulut dan hidung, susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18-31 Mac.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan PDRM turut menafikan dakwaan empat lelaki India yang didapati positif koronavirus (Covid-19) telah lari dari Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.
"Pihak Hospital Dungun turut menafikan kesemua staf hospital itu telah dikuarantin. Walaupun terdapat kes positif Covid-19 di hospital itu, arahan kuarantin tidak melibatkan kesemua staf seperti yang didakwa," menurut kenyataan itu.
Selain itu, Kementerian Kesihatan juga menafikan hilang selera makan dan hilang deria bau antara simptom baharu Covid-19 yang dikesan.
Dalam pada itu pejabat Menteri Besar Selangor menafikan dakwaan beberapa lokasi panas wabak Covid-19 meliputi kawasan Sungai Lui, Sungai Ramal Dalam, Sungai Merab dan Jalan Kebun yang kononnya dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor.
Dalam kenyataan terbaru KKMM pada petang ini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan dakwaan bahawa Hospital Permai memohon bantuan atau sumbangan bekalan untuk ‘Baju Perlindungan’ atau Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dan melantik agen untuk menguruskan pembelian.
Selain itu, Ahli Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking turut menafikan berita kononnya Ketua Menteri Sabah, Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen dari parti Warisan dikuarantin kerana bergaul dengan pemimpin DAP yang positif Covid-19.
MKN juga menafikan berita dalam empat nota suara yang mendakwa darurat akan diisytiharkan.
Menurut kenyataan itu lagi, PDRM menjelaskan beberapa isu melibatkan nota suara dan klip video yang tular berkaitan Covid-19.
“Berita melalui nota suara yang mengatakan mayat dalam kereta Myvi di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Hulu Bernam arah utara di Kuala Kubu Baru adalah mangsa wabak Covid-19 adalah tidak benar.
“Klip video yang menunjukkan sepasukan anggota polis menangkap seorang lelaki yang disyaki positif Covid-19 dengan menggunakan pistol perenjat elektrik hanyalah latihan PDRM,” jelas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!