Ketua Pembangkang Selangor sumbang makanan, cecair pembasmi kuman
SABAK BERNAM - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail mengambil inisiatif menyumbang makanan dan cecair pembasmi kuman kepada anggota polis yang bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Rizam berkata, sumbangan itu diserahkan kepada Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias.
Menurutnya, sumbangan itu merupakan penghargaan pihaknya kepada anggota polis yang bertugas 24 jam terutama dalam tempoh PKP yang kini dilanjutkan sehingga 14 April depan.
"Sumbangan ini diharap dapat membantu bagi membalas jasa mereka yang berkorban masa dan tenaga," katanya.
Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, selain beliau, sumbangan kepada petugas keselamatan negara itu turut disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya dan Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri.
“Sumbangan ini daripada saya dan rakan yang dikumpul serta diagih untuk dijadikan bekalan ketika bertugas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!