'Badan saya rasa menggigil'
SABAK BERNAM - Seorang pemandu nyaris maut apabila keretanya terbalik di Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran Kampung Batu 23 Sungai Nibong, di sini semalam.
Muhammad Aidil Mansor, 28, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kereta dipandunya merempuh pembahagi jalan selepas tidak sempat mengelak kon di tepi jalan.
Katanya, dia yang memandu bersendirian, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Air Tawar selepas menjalani latihan di Kuala Lumpur.
"Badan saya rasa menggigil ketakutan bila kereta dipandu tiba-tiba terbalik.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya cuba elak kon di tepi jalan, tapi gagal mengawal kenderaan hingga mengakibatkan kenderaan dipandu terperosok atas pembahagi jalan lalu terbalik ke laluan bertentangan," katanya.
Menurutnya, sejurus kenderaannya terbalik, dia yang berada di tempat duduk pemandu terus menendang pintu untuk keluar.
Muhanmad Aidil yang bekerja sebagai perunding kecantikan sebuah jenama produk terkenal berkata, dia bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.
"Keadaan jalan pada waktu itu gelap. Saya tak fikir panjang selain ingin selamatkan nyawa, tambahan risau jika ada lori atau treler dari arah bertentangan merempuh kenderaan saya yang dah terbalik," katanya.
Muhammad Aidil berkata, kejadian itu mengakibatkan kenderaannya rosak teruk namun belum membuat laporan polis.
Insiden itu tular di media sosial apabila dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Jalan Persekutuan FR5, Ahmad Zhafri Md Noor di Facebook.
Sebanyak 50 menyukai status itu, selain menerima sebanyak 14 komen dan lima perkongsian di Facebook.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!