Covid-19: Pas Kedah ajak rakyat puasa sunat, solat hajat esok
ALOR SETAR - Pas Kedah mengajak semua rakyat negeri berkenaan melaksanakan puasa sunat esok serta solat hajat pada sebelah malamnya, di kediaman masing-masing bagi memohon agar ALLAH SWT memulihkan ancaman pandemik koronavirus (Covid-19).
Ketua Dewan Ulama Pas Kedah, Syeikh Mohamad Rodi Abdul Rahman berkata, Pas di semua peringkat juga akan melaksanakan puasa sunat dan solat hajat itu secara serentak.
Menurutnya, selain bermuhasabah diri, umat Islam disaran memohon pertolongan daripada ALLAH SWT selepas melakukan pelbagai ikhtiar.
“Eloklah kita mulakan dengan Solat Maghrib dan hajat, istighfar 100 kali, selawat 100 kali, bacaan Yaasin, dan berdoa kepada ALLAH SWT semoga wabak Covid-19 segera ditemui penawarnya dan negara segera bebas wabak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Syeikh Mohamad Rodi berkata, pelbagai usaha telah banyak dilakukan di pelbagai peringkat dan di mana-mana, namun data menunjukkan setiap hari angka kematian semakin meningkat dan membimbangkan.
“Wabak ini tidak mengenal garis sempadan, bangsa atau agama. Marilah kita bersama-sama kembali kepada ALLAH SWT dengan memohon agar kita semua terpelihara dan terhindar daripada wabak ini.
“Semoga ada doa dalam kalangan kita dimakbulkan ALLAH SWT,” katanya.
Syeikh Mohamad Rodi turut meminta semua lapisan masyarakat agar mematuhi seruan kerajaan untuk bersama berusaha mengekang penularan Covid-19.
“Pas Kedah juga memberi penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada petugas barisan hadapan dalam pelbagai bidang yang bertungkus lumus siang dan malam menjayakan usaha murni kerajaan mengekang penularan wabak ini,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan menguatkuasakan beberapa langkah mengekang penularan Covid-19 daripada terus merebak termasuk Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac, melibatkan pemantauan anggota polis dan tentera dalam memastikan kelancaran usaha ini.
Hari ini, Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan kepada 14 April berikutan trend positif baharu dijangka berterusan.
Menurutnya, tempoh kuatkuasa perintah itu akan dikaji dari masa ke semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!