73 petugas kesihatan KKM positif Covid-19

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seramai 73 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) telah dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan siasatan, punca jangkitan bagi kesemua anggota kesihatan ini bukan disebabkan oleh pengendalian kes positif Covid-19 di fasiliti kesihatan KKM.

"Daripada jumlah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes (64.4 peratus) adalah berkaitan dengan majlis perkahwinan yang juga dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, lain-lain punca adalah seperti sejarah melawat ke luar negara dan dari kontak keluarga yang positif Covid-19.

Beliau berkata, Hospital Teluk Intan mencatatkan kes positif Covid-19 tertinggi melibatkan petugas kesihatan iaitu 37 kes.

"Ia diikuti dengan Hospital Putrajaya, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan dan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang Selangor serta Hospital Selayang," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 1,895 anggota kesihatan yang merawat pesakit Covid-19 di fasiliti kesihatan KKM telah menjalani ujian pengesahan.

"Seramai 1,187 adalah negatif manakala 708 lagi masih menunggu keputusan. Setakat ini tiada kes yang positif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyeru kepada kakitangannya agar memaklumkan kepada ketua jabatan sekiranya terlibat secara langsung dengan jemaah tabligh atau mempunyai kontak dengan individu di majlis perkahwinan di Bangi dan Putrajaya.

"Majlis perkahwinan berkenaan diadakan di Bangi pada 6 Mac manakala resepsi diadakan sehari selepas itu di Putrajaya. Petugas kesihatan dipercayai menghadiri kedua-dua majlis tersebut," katanya.

Ditanya dakwaan rakaman audio mengenai petugas barisan hadapan keletihan yang tular aplikasi WhatsApp, beliau mengakui keadaan tersebut.

"Betul! Frontliner kita memang telah bekerja tanpa henti lebih kurang tiga bulan termasuk di Ibu Pejabat KKM sendiri," katanya.

Menurutnya, pegawai perubatan terpaksa bekerja sehingga maksimum 16 jam bagi merawat pesakit Covid-19.

"Tetapi apa yang penting sekarang adalah kita dapat menyelaraskan sumber manusia," katanya.

Beliau berkata, seramai 3,400 kakitangan dalam perkhidmatan telah dikerahkan ke klinik dan hospital yang memerlukan.

"2,500 daripadanya adalah jururawat berpengalaman dan sedang menjalani latihan dalam perkhidmatan untuk membantu di klinik dan hospital.

"Seramai 3,000 jururawat yang telah bersara membuat pendaftaran dengan KKM untuk berkhidmat semula," katanya.

Tambahnya, KKM sedang mengenalpasti kepakaran jururawat tersebut sama ada di ICU, di dewan bedah dan sebagainya.

"Kita akan gunakan kepakaran mereka untuk penempatan sama ada di klinik ataupun hospital KKM.

"Kita dapat tampung keperluan secara keseluruhannya kalau kita kerahkan sumber manusia yang sedia ada," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!