Anggap sebagai tempoh bertenang - Raja Muda Perlis

A
A
A

KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta semua pihak mematuhi dan memanfaatkan masa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Baginda bertitah, tempoh yang dilanjutkan itu boleh dijadikan tempoh bertenang untuk mereka yang selama ini terlalu sibuk dengan tugas masing-masing.

“Setiap organisasi perlu memanfaatkan masa ini untuk membuat perancangan terperinci dan memikirkan strategi bersepadu dalam usaha memperbaiki prestasi pada masa akan datang,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut meminta ibu bapa memberikan perhatian terhadap pelajaran anak-anak dengan memantau perkembangan terkini pembelajaran, memastikan ulangkaji dilakukan selain mendidik mereka dengan ilmu agama, sahsiah serta asas kemahiran hidup yang mungkin sebelum ini tidak berpeluang dilakukan bersama.

“Pelbagai aktiviti berfaedah boleh dilakukan sepanjang tempoh berada di rumah, yang mungkin tidak dapat dirasai selepas ini.

"Manfaatkan tempoh ini bagi mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga dengan melakukan aktiviti bersama, contohnya solat berjemaah, membaca al-Quran, memasak, bersenam, mengemas rumah dan membersihkan kawasan rumah malah anda boleh berkebun di laman rumah," titah baginda.

Baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Hari Polis ke-213 atas perkhidmatan dan pengorbanan anggota menjaga keselamatan dan keamanan negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!