Dipenjara tiga bulan kerana halang tugas anggota Rela ketika PKP

A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah menghalang tugas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang penganggur dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mohamed Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas Hew Foo Keang, 35, mengaku melakukan perbuatan itu di Jalan Silang berhampiran Projek Perumahan Rakyat Pekan Kepong di sini pada 11.10 malam semalam.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang dua anggota Rela iaitu Seow Kok Keong dan Zaman Huri Bontak daripada menjalankan tugas mereka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal kerana kejadian berlaku dalam tempoh PKP dan orang ramai perlu memberi kerjasama penuh kepada semua penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.

Ketika merayu hukuman ringan, Foo Keang berkata, ini adalah kesalahannya yang pertama dan dia memohon maaf atas perbuatannya itu.

Mahkamah turut menjatuhi hukuman penjara sebulan terhadap Foo Keang kerana gagal mengemukakan kad pengenalan diri atau sebarang dokumen pengenalan sementara semasa pemeriksaan polis pada tarikh, tempat dan masa yang sama.

Mohamed Aizat mengarahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman secara serentak mulai tarikh dia ditangkap iaitu semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!