PKP bukan halangan misi Tabung Musa’adah Covid-19 diperkasakan
SHAH ALAM - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memastikan perjalanan misi #musaadahcovid19 terus diperkasakan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang agensi-agensi terlibat melaksanakan amanah itu.
Komitmen itu jelas dibuktikan menerusi perkongsian di hantaran Facebooknya hari ini apabila buat pertama kali dalam sejarah, jabatan itu menjalankan Mesyuarat Pasca Kabinet melalui sidang video.
"Seingat saya, ini kali pertama dalam sejarah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mesyuarat Pasca Kabinet dijalankan melalui sidang video.
"Kami memanfaatkan aplikasi Hangouts Meet untuk berbincang bagi memperkasa perjalanan misi #musaadahcovid19.
"Tempoh #PerintahKawalanPergerakan tidak menjadi alasan untuk agensi-agensi di bawah saya untuk hanya berehat di rumah," katanya.
Menurutnya, dalam perbincangan tersebut beliau menegaskan agar bantuan disampaikan seluas mungkin di Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri terpilih.
"Sekurang-kurangnya ada makanan di atas meja dalam setiap keluarga.
"Kita perlu bersatu hati berusaha memutuskan rantaian wabak dalam negara ini. Selebihnya, jangan berhenti berdoa dan bermunajat kepada-Nya," katanya.
Semalam Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) melancarkan Tabung Musa’adah Covid-19 sebagai inisiatif membantu meringankan beban pihak yang terjejas akibat wabak itu.
Sumbangan ke tabung berkenaan boleh dibuat melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (16027010001528) atas nama Tabung Bencana Alam dengan rujukan derma Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!