Thailand buka hospital lapangan pertama untuk pesakit Covid-19
BANGKOK - Thailand hari ini membuka hospital lapangan pertama untuk pesakit koronavirus (Covid-19) tidak kritikal di Universiti Thammasat kampus Rangsit di Pathum Thani, utara Bangkok.
Asrama Dluxx Thammasat 14 tingkat dengan kemudahan 308 katil itu akan menempatkan pesakit yang mempunyai gejala ringan atau tidak mempunyai simptom Covid-19.
Dekan Fakulti Perubatan Universiti Thammasat, Profesor Madya Dilok Piyayotai berkata, pesakit yang dirawat selama lima ke tujuh hari dan masih menunjukkan gejala ringan Covid-19 akan dipindahkan ke hospital.
“Kami menjangkakan lebih banyak kes positif dalam satu atau dua minggu dan kami mungkin memerlukan lebih banyak katil hospital. Oleh itu, penubuhan hospital lapangan untuk pesakit tidak kritikal akan mengurangkan masalah kekurangan katil di hospital sedia ada.
“Kumpulan 10 pesakit pertama akan dipindahkan ke sini hari ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat hospital lapangan itu.
Beliau berkata, pesakit yang dipindahkan ke hospital lapangan akan dikuarantin selama 14 hari dan mereka yang diuji negatif dibenarkan pulang.
Penubuhan hospital lapangan itu adalah kerjasama lima hospital universiti iaitu Hospital Universiti Thammasat, Hospital Siriraj, Hospital Ramathibodi, King Chulalongkorn Memorial Hospital dan Hospital Vajira.
Dilok berkata, seorang doktor dan sepasukan jururawat akan ditempatkan di hospital lapangan itu bagi memantau pesakit.
“Bilik berpenyaman udara dan mempunyai bilik air itu dilengkapi dengan kamera litar tertutup, sistem komunikasi untuk membolehkan pasukan perubatan memantau dan berkomunikasi dengan pesakit,” katanya.
Sehingga kini, Thailand merekodkan 934 kes dengan empat kematian. Seramai 70 pesakit didiscaj manakala 860 masih dirawat di hospital.
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!