Laluan masuk ke bandar Kota Bharu ditutup

Hasanuddin (dua dari kanan) mengadakan rondaan dan lawatan ke sekatan jalan raya di bawah Jambatan Sultan Yahya Petra bagi menghadkan pergerakan orang ramai supaya mematuhi PKP yang dilaksanakan pihak kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19.
Hasanuddin (dua dari kanan) mengadakan rondaan dan lawatan ke sekatan jalan raya di bawah Jambatan Sultan Yahya Petra bagi menghadkan pergerakan orang ramai supaya mematuhi PKP yang dilaksanakan pihak kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menutup kesemua laluan masuk ke bandar Kota Bharu berkuat kuasa hari ini susulan sebahagian rakyat yang ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, biarpun PKP sudah memasuki hari kelapan namun masih ada rakyat yang berdegil keluar dari rumah tanpa urusan penting.

Menurutnya, sepanjang tempoh sekatan jalan raya yang dilakukan sebaik PKP berkuat kuasa pihaknya menerima banyak alasan tidak munasabah daripada orang ramai yang tidak mematuhi arahan duduk di rumah.

“Sekiranya 50 peratus masih bergerak maka polis akan menutup laluan khususnya di kawasan bandar Kota Bharu. Contoh hendak bayar bil elektrik sedangkan boleh dibayar melalui atas talian selainnya hanya urusan penting dibenarkan.

“Walaupun masyakat akan “menjerit” tetapi saya terpaksa kerana jumlah wabak semakin meningkat menyebabkan semua risau dan perlu lebih berjaga-jaga,” katanya ketika mengadakan lawatan di sekatan jalan raya di bawah Jambatan Sultan Yahya Petra di sini hari ini.

Hasanuddin berkata, pihaknya juga mengeluarkan arahan mengetatkan lagi kawalan supaya dapat menghadkan pergerakan rakyat Kelantan.

“Anggota yang bertugas di sekatan jalan raya diarahkan supaya mengawal pengguna jalan raya dan bagi yang tidak mempunyai tujuan penting diminta supaya balik ke rumah masing-masing.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya memberi kerjasama kepada pihak polis dan memandang serius kes melontar kata-kata kesat ketika polis menjalankan tanggungjawab serta tindakan diambil terhadap pesalah ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan arahan PKP dilanjutkan sehingga ke 14 April.

PKP berkuat kuasa pada 18 Mac sepatutnya berakhir pada 31 Mac ini namun disambung bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!