Bekas jururawat sedia kembali berkhidmat

Penat lelah yang jelas ditanggung petugas barisan hadapan yang kini bertungkus lumus memerangi koronavirus (Covid-19) telah menyuntik semangat seorang bekas jururawat, Maryam Marfuzah Ahmad Marzuki,40, untuk kembali menabur bakti. GAMBAR HIASAN
Penat lelah yang jelas ditanggung petugas barisan hadapan yang kini bertungkus lumus memerangi koronavirus (Covid-19) telah menyuntik semangat seorang bekas jururawat, Maryam Marfuzah Ahmad Marzuki,40, untuk kembali menabur bakti. GAMBAR HIASAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penat lelah yang jelas ditanggung petugas barisan hadapan yang kini bertungkus lumus memerangi koronavirus (Covid-19) telah menyuntik semangat seorang bekas jururawat, Maryam Marfuzah Ahmad Marzuki,40, untuk kembali menabur bakti.

Selepas enam tahun meninggalkan kerjaya itu kerana mengikuti suami berhijrah ke Australia, Maryam Marfuzah kini bersedia mengerah keringat untuk membantu negara mengekang penularan wabak Covid-19.

Sejak Covid-19 mula dikesan di negara ini pada Januari lepas, beliau dihimpit rasa bersalah kerana hanya mampu mendengar berita penularan wabak itu di rumah tanpa memberi bantuan walaupun mempunyai pengetahuan bidang kejururawatan.

Justeru, apabila Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru jururawat dan doktor bersara kembali berkhidmat, beliau tidak berfikir panjang dan menghantar permohonan untuk membantu meringankan beban petugas sedia ada.

“Sudah dua tahun saya balik Malaysia dan menjadi suri rumah. Apabila Covid-19 melanda macam sekarang ni saya jadi sebak mengenangkan kawan-kawan yang masih berjuang, penat fizikal dan mental.

“Terasa bersalah dan tidak berguna kalau saya tak bantu bersama dan sekadar duduk rumah sahaja, jadi sebab itu saya mahu bersama-sama dengan petugas barisan hadapan semua membantu mengawal situasi Covid-19 di negara ini,” katanya kepada Bernama.

Ibu kepada dua anak lelaki itu mendapat sokongan penuh daripada keluarga terutama suami, Mohd Zaini Abdul Manaf, 45, yang sanggup menguruskan anaknya, masing-masing berusia 12 dan 13 tahun, sekiranya beliau terpilih kembali berkhidmat.

Ditanya sekiranya beliau bimbang risiko dijangkiti wabak itu ketika bertugas, katanya perkara itu langsung tidak terlintas di fikirannya kerana lebih bersemangat untuk membantu pesakit dan mengurangkan beban rakan seperjuangan.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga tidak sabar menggunakan pengalaman kejururawatan selama 10 tahun sebelum ini untuk membantu pesakit.

“Sebelum ini saya pernah berkhidmat di wad bahagian kawalan jangkitan dan dua tahun di bahagian pembedahan, jadi sebagai jururawat saya sudah bersedia mental dan fizikal walau dalam keadaan apa sekali pun,” katanya.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM mengenal pasti kira-kira 3,000 jururawat dan pegawai perubatan kontrak termasuk yang telah bersara untuk membantu kementerian mendepani wabak Covid-19. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!