Pembelian panik, balik kampung punca PKP dipanjangkan
SHAH ALAM – Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memanjangkan lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April adalah satu tindakan tepat bagi memutuskan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) kerana tempoh 14 hari pertama dilihat tidak mencukupi.
Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, antara punca kenapa tempoh ini dipanjangkan oleh kerajaan kerana kemungkinan jumlah pesakit akan bertambah akibat daripada pembelian panik dan tindakan balik kampung secara besar-besaran sebelum 18 Mac lalu.
“Buat masa ini, corak kes baharu setiap hari naik dan turun. Ianya masih belum betul-betul turun. Oleh itu, jika tempoh PKP ditamatkan pada 31 Mac, ia dibimbangi akan meningkatkan semula jumlah kes baru.
“Kemungkinan juga jumlah kes akan melambung tinggi. Oleh itu kita mahu jumlah kes baru menjelang 14 April nanti adalah satu digit atau kosong kes baru,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Dr Hanafiah berkata, jika jumlah kes baharu masih tidak turun dan masih ramai rakyat yang degil, kemungkinan besar kerajaan akan meneruskan PKP sehingga keadaan benar-benar selamat.
“Kita perlu ikut arahan, duduk di rumah, jangan ke mana-mana. Apa yang terjadi di Itali adalah pengalaman pahit. Walaupun negara itu mempunyai sistem kesihatan terbaik namun mereka pun tidak mampu lagi menanggungnya.
“Fakta ini kita perlu terima, saya tidak mahu senario di Itali berlaku di Malaysia, jika berlaku di Malaysia, kita akan habis,” katanya.
Katanya, oleh itu orang awam dinasihatkan terus kekal di rumah walaupun ianya mustahil untuk dilakukan kerana sifat manusia yang mahu keluar dan bergerak.
“Dalam situasi hari ini, rakyat Malaysia perlu bersatu dan bersedia menghadapi apa juga kemungkinan pada masa depan.
“Marilah kita berdoa supaya saintis menjumpai vaksin atau antiviral yang sesuai bagi menghapuskan Covid-19,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!