Singapura buat ujian Covid-19 lebih daripada Korea Selatan dan Taiwan

Sejak minggu lepas, Singapura mengalami peningkatan kes dari luar. - Foto AFP
Sejak minggu lepas, Singapura mengalami peningkatan kes dari luar. - Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Singapura telah menjalankan kira-kira 39,000 ujian koronavirus (Covid-19) setakat ini, kata Menteri Kesihatan republik itu, Gan Kim Yong hari ini.

“Ini diterjemahkan kepada kira-kira 6,800 ujian bagi setiap juta rakyat di Singapura, berbanding sekitar 6,500 di Korea Selatan dan anggaran 1,000 di Taiwan,” katanya dalam kenyataan menteri di Parlimen hari ini mengenai perkembangan maklum balas keseluruhan kerajaan terhadap Covid-19.

Singapura setakat ini terdapat 558 kes yang disahkan, dua meninggal dunia, 155 telah didiscaj dan kebanyakan pesakit lain berada dalam keadaan stabil dan lebih baik.

Mengenai usaha penyelidikan, Kim Yong berkata, Singapura sedang membangunkan penyelidikan dan pengetahuan mengenai Covid-19 dan berkongsi dengan negara-negara lain.

Satu kit ujian pantas yang inovatif sedang dibangunkan oleh penyelidik A*STAR Singapura, katanya, mengharapkan ia akan melalui percubaan tidak lama lagi dan memberikan senjata tambahan negara terhadap Covid-19.

Untuk rawatan, Kim Yong berkata, satu kumpulan kerja terapeutik Covid-19 merangkumi ahli dari pelbagai hospital dengan disiplin berbeza serta Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura ditubuhkan bagi merangka garis panduan untuk ubat dengan aktiviti antiviral - seperti Lopinavir-ritonavir, Interferon Beta-1B dan hydroxychloroquine - untuk merawat pesakit yang dijangkiti di Singapura.

Kim Yong berkata, Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan Hospital Tan Tock Seng (TTSH), bersama-sama Bank Darah Singapura telah memulakan pengambilan penderma untuk mengumpul plasma darah pemulihan daripada pesakit yang sembuh untuk merawat pesakit Covid-19 yang lain.

“Doktor kami juga mengambil bahagian dalam ujian klinikal antarabangsa dengan kolabolator seperti Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi vaksin, Kim Yong berkata, Sekolah Perubatan Duke-NUS sedang bekerjasama dengan Pakatan Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI) dan rakan kongsi antarabangsa untuk membangunkan ujian klinikal bagi vaksin, dengan rancangan untuk memulakan ujian tahun ini.

Sekolah Perubatan Duke-NUS adalah kerjasama antara Universiti Duke dan Universiti Nasional Singapura.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan vaksin paling awal akan siap mungkin tahun hadapan.

Menurut Kim Yong, dari hujung Januari hingga Februari, Singapura menyaksikan gelombang awal kes import dari China.

“Bagaimanapun, pada beberapa minggu kebelakangan ini, kami melihat gelombang kedua kes-kes import. Minggu lepas sahaja, jumlah kes di Singapura lebih dua kali ganda, daripada 266 ke 558 kes.

“Hampir 80 peratus kes-kes baharu ini adalah kes import, semua dari negara selain China walaupun kita terus melihat kira-kira 1,000 penduduk dan pemegang pas jangka panjang kembali dari China minggu lepas,” katanya.

Katanya, tiga sumber utama kes import ke Singapura adalah United Kingdom, Amerika Syarikat dan Indonesia.

“Pada minggu-minggu akan datang, jumlah kes akan terus meningkat apabila kira-kira 200,000 rakyat Singapura di luar negara akan pulang dari seluruh dunia,” katanya.

Menurutnya, Singapura telah memperlahankan penyebaran tempatan setakat ini melalui pendekatan tiga cabang: pertama, mengurangkan pengimportan; kedua, mengesan dan mengasingkan kes dengan awal; dan ketiga, menekankan tanggungjawab sosial dan amalan kebersihan diri yang baik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!