Pesakit, orang awam tak perlu bimbang
TELUK INTAN - Semua orang awam dan pesakit di Hospital Teluk Intan (HTI) tidak perlu bimbang dengan penutupan sementara Jabatan Kecemasan dan wad pemerhatian di Jabatan Kecemasan di hospital berkenaan berikutan kes positif Koronavirus (Covid-19) melibatkan kakitangannya.
Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, langkah-langkah keselamatan dan pencegahan serta penambahbaikan sedang dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.
Menurutnya, langkah-langkah pengawalan penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan dilakukan dengan bantuan Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak.
"Bermula 24 Mac, selama empat hari, Jabatan Kecemasan akan menjalani aktiviti dekontaminasi semula dan perkhidmatan kecemasan dijalankan sementara di ruang menunggu bersebelahan Unit Pesakit Luar.
"Bagaimanapun untuk tempoh sementara ini, Jabatan Kecemasan tidak akan menumpukan kes tidak kritikal dan hanya menumpukan kepada kes kecemasan kritikal untuk Zon Kuning dan Zon Merah sahaja," katanya dalam kenyataan media yang dimuat naik menerusi Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Perak semalam.
Beliau berkata, Jabatan Kecemasan mendapatkan bantuan Pakar Perubatan Kecemasan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Taiping dan Hospital Seri Manjung dengan penambahbaikan dilakukan.
Katanya, staf-staf lain daripada jabatan lain digerakkan ke Jabatan Kecemasan secara berjadual dan berkala bagi membantu di dalam melancarkan operasi harian.
Lay Ming berkata, tahap kesihatan staf disaring penyelia sebelum memulakan tugas syif dengan Kuarters Asrama Jururawat dijadikan tempat untuk bilik isolasi dan kuarantin untuk semua petugas barisan hadapan.
"Semua temu janji klinik-klinik ditangguhkan. Segala urusan temujanji dan ubat-ubatan dilakukan melalui telefon. Namun pihak klinik masih menerima kes atau pesakit yang mempunyai masalah semasa saringan melalui telefon.
"Perkhidmatan pembekalan ubat di hadapan Unit Pesakit Luar melalui kaedah pandu lalu disediakan bagi kemudahan pelanggan dan mengurangkan risiko jangkitan," katanya.
Beliau menjelaskan operasi Dewan Bedah bagi kes-kes selektif ditangguhkan bagi menumpukan kes-kes kecemasan dan semi-kecemasan sahaja.
Dalam pada itu, Lay Ming menyarankan orang awam mengikuti arahan dan nasihat pihak pengurusan hospital dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.
Menurutnya, semua pihak juga diingatkan tidak menularkan sebarang berita tidak sahih kerana dibimbangi mencetuskan kegusaran orang ramai.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa HTI masih beroperasi seperti biasa dan hanya Jabatan Kecemasan ditutup sementara bagi proses pencucian dan nyahkuman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!