640 kg sayur, buah diedar kepada petugas Covid-19
MANJUNG - Lebih 640 kilogram (kg) sayur dan buah-buahan produk MGROW diedarkan oleh Manjung Naluri Sdn Bhd untuk anggota keselamatan dan kakitangan kesihatan yang bertugas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak koronavirus (Covid-19).
Penasihat Manjung Naluri, Ting Tai Fook berkata, inisiatif itu diambil untuk membantu petugas sekali gus sebagai tanda ingatan dan terima kasih kepada mereka yang dianggap wira negara.
“Kita telah sediakan 200 kg betik, pisang berangan (350 kg), sayur bendi (70 kg) dan 20 kg nenas bagi warga Klinik Kesihatan Sitiawan, Balai Polis Ayer Tawar dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
“Petugas juga perlukan makanan seimbang khususnya sayur dan buah-buahan. Kita bagi sayur sebab petugas juga susah nak keluar beli keperluan memasak untuk keluarga mereka dalam masa genting ini,” katanya.
Menurutnya, Manjung Naluri turut mengedarkan pek buah-buahan segar kepada petugas pelbagai agensi bermula 23 Mac lalu hingga tempoh PKP tamat.
“Hari ini (semalam) kita sediakan 150 bungkus buah potong seperti nenas, pisang berangan dan betik untuk petugas Hospital Seri Manjung, polis dan tentera.
“Kita siap potong bagi memudahkan petugas untuk terus makan malah kami akan sediakan lagi setiap hari untuk mereka secara bergilir-gilir,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!