Tiga rakan halang tugas PKP menangis kena hukum
TELUK INTAN - Tiga lelaki menangis sebaik dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini selepas mengaku bersalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
S Surinthran, 28, K Rajet Rao, 19, dan M Viknes Rao, 18, yang merupakan rakan baik membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mujid Saroji.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka secara bersama telah didapati bertindak agresif terhadap seorang anggota polis dengan cara enggan digari semasa tangkapan dilakukan.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Sungai Sumun, Rungkup kira-kira jam 7.50 malam semalam.
Atas kesalahan itu, ketiga-tiga mereka didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudiannya mengenakan denda RM5,000 setiap seorang atau satu tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimah Che Ismail manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, tiga lelaki terbabit ketika kejadian berada di hadapan kedai serbaneka itu dalam keadaan sedang minum dipercayai minuman keras.
Mereka kemudiannya bertindak kasar dan agresif ketika dihampiri sepasukan anggota polis yang membuat rondaan di kawasan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!