Tiga senjata perubatan lawan Covid-19: Najib
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkongsi mengenai tiga senjata perubatan yang digunakan di beberapa negara bagi melawan wabak koronavirus (Covid-19) dari segi kesihatan.
Tiga senjata perubatan itu menurut Najib adalah kit ujian pantas, ubat dan vaksin.
"Sejak minggu lepas, Amerika Syarikat telah meluluskan dua lagi kit ujian pantas iaitu Kit yang boleh digunakan dengan mesin popular GeneXpert dari syarikat Cepheid dan kit ujian dari syarikat Mesa.
"Singapura juga sedang menghasilkan kit ujian diberi nama Cepat. Mereka kata, kit ujian itu mampu memberi keputusan yang tepat dalam masa lima minit sahaja.
"Mereka merancang untuk menghantar kit ujian ini untuk mendapat kelulusan dari kerajaan Singapura dalam masa sebulan. Jika diluluskan, ianya kit ujian Covid-19 paling laju di dunia," katanya.
Menurut Najib, selain mengkaji ubat baharu, beberapa ubat sedia ada berkesan mengubat pesakit Covid-19 dengan salah satunya, ubat Hydroxychloroquine yang diagung-agungkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Katanya, ubat itu wujud sejak berpuluh tahun dahulu bagi mengubati malaria, tetapi didapati berkesan untuk kes Covid-19 di Perancis.
"Kajian berskala kecil di Perancis melibatkan 26 pesakit mendapati kesemua pesakit sembuh sepenuhnya apabila diberi ubat hydroxychloroquine.
"Kesannya bertambah baik apabila pesakit juga diberi antibiotik azithromycin.
"Oleh kerana ujian tersebut, negara Bahrain telah mula menggunakan ubat hydroxychloroquine untuk pesakit Covid-19 manakala negara India telah mengharamkan eksport ubat tersebut," katanya.
Tambah Najib, di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji untuk menggunakan dua jenis ubat yang berpotensi dari China dan Jepun dipanggil Avigan yang merupakan ubat selesema sedia ada sejak 2014.
Bagi vaksin pula menurutnya, United Kingdom, Amerika Syarikat, Rusia, China dan Singapura sedang menguji vaksin masing-masing.
"Diramalkan bahawa paling cepat vaksin baharu boleh diluluskan dan dihasilkan untuk kegunaan orang ramai ialah sebelum akhir tahun.
"Vaksin memberi pertahanan kepada orang ramai untuk mencegah mereka jatuh sakit apabila dijangkiti Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!