KPDNHEP Terengganu lantik 40 peruncit sebagai pusat bekalan barangan
KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu melantik 40 peruncit terpilih atau Dedicated-Retailer (DDR) di seluruh negeri sebagai pusat bekalan barangan keperluan asas.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, pelantikan itu membenarkan DDR menyimpan barang kawalan melebihi 20 peratus daripada had simpanan dalam lesen bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan keperluan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan.
Menurutnya, pihaknya telah membuat pemantauan di 104 premis perniagaan bermula 18 Mac hingga semalam berdasarkan barangan yang menjadi tumpuan pengguna dan mendapati bekalan keperluan asas adalah mencukupi dan mudah diperolehi.
“Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan agar tidak membuat pembelian secara panik dan merancang pembelian barangan keperluan asas berdasarkan kepada keperluan sebenar.
“Dalam tempoh pelaksanaan PKP ini, semua pasar raya, kedai serbaneka, kedai runcit dan pasar awam dibuka mengikut tempoh masa perniagaan sebagai mana yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Justeru, tidak ada masalah kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan barangan keperluan asas masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Saharuddin turut menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati semasa membuat pembelian barang tumpuan seperti topeng muka dan sanitizer secara dalam talian supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
Ini kerana katanya, ada sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan item berkenaan dengan harga yang tidak munasabah.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan secara tidak munasabah, menyorok bekalan barangan dan memanipulasi harga barangan di pasaran.
“Kita juga mengharapkan kerjasama peniaga untuk melaksanakan kawalan secara kendiri dengan menentukan had jualan barangan yang bersesuaian bagi individu atau keluarga dalam memastikan bekalan barangan keperluan asas pengguna sentiasa mencukupi.
“Sekiranya terdapat sebarang aduan atau kemusykilan, bolehlah hubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri Terengganu dan semua cawangan yang beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 6 petang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!