Tun M minta rakyat berdisiplin, patuh PKP

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat untuk berdisiplin dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Bekas Perdana Menteri berkata, arahan itu adalah bagi memastikan keselamatan rakyat dan keluarga memandangkan jangkitan koronavirus (Covid-19) masih menular dalam negara.

“Setiap hari lebih daripada 100 orang jatuh sakit dan ada yang meninggal. Jadi, kalau kita tak berjaga-jaga, tak pisahkan diri kita daripada rakan-rakan, kita keluar dari rumah maka kemungkinan penyakit ini akan berterusan.

“Dulu ada SARS, H1N1 tetapi kali ini kita dapati belum ada vaksin atau ubat yang boleh menghalang penyakit ini (Covid-19) daripada merebak.

“insya-ALLAH kalau kita patuh dan berdisiplin, penyakit ini akan berkurangan dan mungkin kita akan dapat mengeluarkan vaksin yang boleh menghalang kita daripada mendapat penyakit ini,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman YouTube ‘Chedet Official’.

Menerusi video berdurasi 3 minit 8 saat itu, Dr Mahathir turut menyarankan orang ramai untuk melakukan aktiviti yang dapat mengurangkan kebosanan di rumah.

Hari ini merupakan hari kesembilan PKP sejak ia dilaksanakan pada 18 Mac lepas dan perintah itu sepatutnya berakhir 31 Mac ini.

Namun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas semalam berkata, tempoh PKP kini dilanjutkan sehingga 14 April. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!