Penganggur dipenjara tiga bulan langgar PKP di Melaka

Mohamad Saiful Bahari (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer keroh, hari ini, kerana ingkar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mohamad Saiful Bahari (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer keroh, hari ini, kerana ingkar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang penganggur menjadi individu pertama di Melaka dikenakan hukuman akibat ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mohamad Saiful Bahari Mohamad, 33, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Had waktu yang diberikan dan dituduh melakukan kesalahan itu di Pasaraya Tesco Melaka, Jalan Panglima di sini, pada jam 7.05 petang semalam,

Pertuduhan mengikut Peraturan 3(1)(b)Peraturan-Peraturan Pencegahan dan penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dijatuhi hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal di hadapan Majistret, Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Puteri Nor Nadia, mencadangkan hukuman yang setimpal terhadap lelaki itu bagi mencerminkan kepentingan umum berhubung penularan koronavirus (Covid-19) memandangkan semalam Melaka telah mencatatkan 33 kes Covid-19 selain berlaku peningkatan kes baharu di seluruh negara.

"Ketika negara menghadapi situasi ini kepentingan umum adalah jauh lebih penting berbanding kepentingan peribadi dan masyarakat serius mematuhi arahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan Covid-19.

"Hukuman bersifat pengajaran perlu bukan sahaja kepada OKT malah kepada orang ramai sebagai iktibar dan mengambil kira keadaan serta kepentingan semua pihak semasa tempoh ini," katanya.

Mohamad Saiful Bahari yang tidak diwakili peguam telah memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu lelaki tersebut turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas dia sebelum itu, mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pengawal keselamatan, Dayang Azura Sufri, 34, pada tarikh dan tempat yang sama.

Berdasarkan fakta kes, seorang pengawal keselamatan ketika menjalankan tugas di tempat itu didatangi tertuduh yang memberitahu hendak masuk ke pasar raya tersebut untuk membeli air.

Pengawal keselamatan berusia 33 tahun itu telah menerangkan waktu operasi pasar raya berkenaan adalah jam 7 pagi hingga 7 malam sahaja, namun lelaki itu enggan mematuhi arahan dan bertindak agresif dengan menampar pipi kiri pengawal keselamatan itu sebelum mengejarnya dengan memasuki kawasan pasar raya itu.

Kali ini dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda maksima RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkapan, semalam.

ends#

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!