SMKTAA guna pengimbas cap jari

Nur'asikin (tiga, kanan) bersama Mohd Subri (kiri) menunjukkan salah satu mesin pengimbas cap jari di sekolah mereka.
Nur'asikin (tiga, kanan) bersama Mohd Subri (kiri) menunjukkan salah satu mesin pengimbas cap jari di sekolah mereka.
A
A
A

ALOR SETAR - Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Aziz, di Simpang Empat di sini menjadi sekolah pertama di negeri Kedah menggunakan pengimbas cap jari bagi merekodkan kedatangan pelajar.

Pengetuanya, Nur'asikin Othman berkata, sistem ini dihubungkan dengan aplikasi Pepatih MySekolah, di mana guru dan ibu bapa dapat memantau waktu kedatangan pelajar ke sekolah.

Katanya, sejak dilancarkan 7 Januari lalu, pihak sekolah dapat mengurangkan peratus pelajar yang lewat hadir ke sekolah.

"Kita sudah tetapkan sebelum jam 7.30 pagi mereka perlu berada di sekolah dan selepas mengimbas jari, pelajar akan terus ke tapak perhimpunan.

Seorang pelajar mengimbas jari bagi merekodkan kedatangannya.
Seorang pelajar mengimbas jari bagi merekodkan kedatangannya.

"Jadi sesi persekolahan lebih teratur dan kita dapat elakkan pelajar berada dalam kelas sebelum waktu pembelajaran bermula," katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, setiap hari beliau boleh mendapatkan rekod kehadiran pelajar pada hari berkenaan dengan lebih cepat dan mudah.

"Tidak perlu lagi tunggu buku kedatangan, seawal jam 7.40 pagi saya sudah dapat mengakses data melalui aplikasi Pepatih MySekolah untuk melihat kehadiran pelajar bagi semua kelas dan tingkatan.

Artikel Berkaitan:

"Secara tidak langsung pihak sekolah dapat memantau peratus kehadiran pelajar agar kekal berada di tahap yang terbaik," katanya.

Tambahnya, mesin pengimbas jari ini juga membantu pihak sekolah membendung gejala ponteng dalam kalangan pelajar.

"Jadi ia turut membantu sekolah dalam usaha membentuk pelajar agar lebih berdisiplin dan mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.

Nur'asikin berkata, sistem ini juga bukan semata-mata untuk merekodkan kehadiran pelajar di sekolah sahaja.

Katanya, ia juga menjadi platform untuk ibu bapa mendapatkan maklumat seperti prestasi pembelajaran, rekod disiplin anak, pengumuman tertentu dari sekolah, dan lain-lain lagi.

"Jadi walaupun ibu bapa sibuk bekerja mereka masih boleh memantau pelajaran anak mereka hanya memuat turun aplikasi ini secara percuma di "play store".

"Kos yang dikenakan untuk sistem ini pula hanyalah RM15 setahun untuk seorang waris yang dikenakan dalam bayaran tambahan dalam tabung PIBG," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PIBG, Mohd Subri Khalipah berkata, beliau menyokong penuh pelaksanaan sistem berkenaan di sekolah terbabit.

"Kita lihat ia memberi banyak manfaat bukan sahaja dari segi mengawal masalah disiplin pelajar tetapi juga untuk memantau prestasi pelajar itu sendiri.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Dr Salmee Said berkata, beliau menyambut baik dan mengucapkan tahniah kepada sekolah berkenaan kerana mengambil langkah baharu dengan memperkenalkan mesin berkenaan di sekolah.

"Sistem ini bukan sahaja membantu kita memantau kehadiran pelajar, malah beban guru juga dapat dikurangkan.

"Guru-guru tidak perlu lagi merekod kedatangan setiap murid secara manual seperti sebelum ini dan mempunyai lebih banyak masa untuk fokus pada pengajaran dan pembelajaran.

"Mungkin selepas ini, sekolah-sekolah lain di negeri ini juga dapat mengikut jejak SMK Tunku Abdul Aziz dalam pelaksanaan sistem ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!