Hantar dokumen mohon bantuan melalui WhatsApp

Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - Foto Bernama
Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Permohonan bantuan daripada agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi golongan yang terkesan dengan wabak koronavirus (Covid-19) merentasi fahaman politik, negeri, warna kulit dan agama dipermudahkan supaya penyalurannya dapat disegerakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sebagai contoh permohonan kepada Majlis Agama Wilayah Persekutuan akan dipermudahkan dengan hanya menghantar dokumen diperlukan melalui aplikasi WhatsApp tanpa perlu ke pejabat.

"Jumlah bantuan melalui agensi-agensi di bawah jabatan ini serta jumlah penerima manfaat akan diumumkan tidak lama lagi.

"Saya ingin tekankan bahawa bantuan ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja, tetapi orang-orang yang memerlukan bantuan yang ada peruntukan-peruntukan lain," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Zulkifli mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Musaadah Covid-19 yang memutuskan semua agensi di bawahnya akan diselaraskan untuk membantu rakyat terkesan dengan Covid-19.

"Penyelarasan ini satu gerak kerja menunjukkan kebersamaan bersasar dan berfokus supaya sampai kepada mereka yang memerlukan," katanya sambil menambah kerjasama itu turut melibatkan majlis agama negeri-negeri.

Beliau berkata, jenis skim bantuan zakat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diuar-uarkan serta boleh dirujuk kepada Baitulmal dan Pusat Pungutan Zakat dan akan disalurkan seberapa segera.

Dalam pada itu ditanya jika tempoh PKP itu dilanjutkan sehingga ke bulan Ramadan, Zulkifli berkata, perkara itu akan dibincangkan.

Artikel Berkaitan:

"(Tempoh PKP) sebenarnya kita akan bincang dan ada plan A, B dan C, namun yang penting perkara pertama yang kita lihat adalah masalah yang lebih besar iaitu masalah untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini supaya tidak lagi wujud dan berjangkit," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan tempoh PKP akan dilanjutkan sehingga 14 April ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!