Berdosa langgar Perintah Kawalan Pergerakan - Mufti Kedah
ALOR SETAR - Individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dianggap berdosa kerana tidak mematuhi arahan pemerintah dalam usaha mencegah penyebaran wabak Covid-19.
Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata, agama Islam sendiri sudah memberi panduan mengenai kewajipan untuk semua pihak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh ulum amri (pemerintah).
"Disebabkan itu, agama melihat bahawa golongan yang ingkar arahan ataupun tidak mematuhi peraturan yang ada ini, maka mereka telah melakukan satu kesalahan dalam agama.
"Apabila berlakunya tidak patuh kepada arahan pihak berwajib, maka ia berlaku pelanggaran terhadap perintah agama sendiri, berdosa dan perlu balik ke pangkal jalan.
"Sehubungan itu, diharap orang ramai mematuhi arahan pemerintah supaya mengikuti PKP," katanya selepas pelancaran aplikasi Asnaf Care Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Wisma Zakat di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fadzil berkata, arahan penangguhan semua aktiviti di masjid termasuk solat Jumaat dan aktiviti keagamaan dilanjutkan sehingga 14 April depan turut dikeluarkan selaras dengan tempoh lanjutan PKP diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Katanya, Jabatan Mufti Kedah telah mengedarkan maklumat kepada masyarakat dengan mengeluarkan garis panduan tentang syiar Islam terutamanya solat Jumaat dan aktiviti keagamaan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan tempoh PKP yang dijadualkan berakhir pada 31 Mac ini dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 14 April depan susulan peningkatan kes positif Covid-19.
Keputusan pelanjutan itu dimaklumkan Perdana Menteri lebih awal bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persediaan awal dan akan dikaji dari semasa ke semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!