LZNK bimbang bekalan makanan untuk asnaf tidak cukup
ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bimbang bekalan makanan untuk diagihkan bagi membantu golongan asnaf di Kedah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April depan tidak mencukupi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Othman berkata, ini kerana bekalan sedia ada dilihat tidak mencukupi untuk melalui tempoh PKP seterusnya.
Menurutnya, bekalan makanan seperti 100 kampit beras dan 300 tin sardin telah diagihkan kepada 576 masjid untuk membantu penduduk terjejas akibat Covid-19 pada fasa pertama pelaksanaan perintah itu.
"Susulan tempoh PKP dilanjutkan untuk membendung wabak itu, bantuan yang ada dibimbangi tidak cukup dan makin meruncing apabila masuk minggu kedua, ketiga dan seterusnya.
"Sekarang baru masuk minggu pertama, belum masuk minggu kedua dan selanjutnya yang PKP ini dikhuatiri melalui mengambil tempoh yang agak panjang," katanya selepas pelancaran aplikasi Asnaf Care Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Wisma Zakat di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim; Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang dan Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Ahmad Faisol Omar.
Zakaria berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai penduduk di negeri ini terjejas dan memerlukan bantuan daripada LZNK susulan lanjutan tempoh PKP.
Sehubungan itu, katanya, LZNK melancarkan portal 'Asnaf Care' yang diakses melalui laman web http://asnafcare.com.my bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan ketika tempoh PKP ini.
"Langkah berkenaan adalah antara usaha LZNK untuk bersama kerajaan negeri bagi membantu menyediakan makanan kepada rakyat yang terputus bekalan.
"Kami menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM10 juta melalui Asnaf Care membabitkan 576 masjid di Kedah yang masing-masing akan menerima 200 kampit beras untuk dimanfaatkan lebih kurang 150,000 penduduk untuk fasa kedua PKP," katanya.
Beliau berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan dan bantuan daripada pelbagai pihak termasuklah orang awam, syarikat korporat serta masjid dalam usaha membantu penduduk memerlukan ketika tempoh PKP.
Katanya, bekalan makanan akan diagihkan dari rumah ke rumah kepada penduduk terbabit oleh penolong amil kariah dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
"Insya- ALLAH, pihak LZNK akan meningkatkan penyelarasan dari semasa ke semasa demi memastikan tidak berlaku monopoli dan pertindihan agar hak sama rata serta dilaksanakan dengan cara terbaik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!