Covid-19: Patuh arahan kerajaan
IPOH - Rakyat di negara ini diminta untuk terus berdoa agar penularan koronavirus (Covid-19) dapat diatasi bagi membolehkan keadaan kembali seperti sedia kala.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, doa dan bantuan kepada barisan hadapan dalam menangani penularan Covid-19 juga perlu diteruskan.
Menurutnya, pada masa yang sama semua pihak perlu bekerjasama dan akur dengan arahan kerajaan kerana hukumnya wajib dalam situasi seperti ini.
"Saya rasa dukacita kerana masih ada orang Islam yang berkeras untuk berjemaah di masjid. Ini bukan sahaja membawa contoh yang tidak baik kepada masyarakat bukan Islam bahkan telah melanggar perintah al-Quran untuk taat kepada pemerintah dalam perkara yang tidak melanggar syarak.
"Saya juga memohon orang ramai tidak terpengaruh dengan 'fatwa-fatwa' orang perseorangan dan badan-badan yang tiada autoriti," katanya kepada Sinar Harian.
Zamri berkata, pada ketika ini, semua pihak perlu bersatu padu merentas segala halangan parti politik demi kesejahteraan negara dan elak tuduh menuduh serta mempolitikkan usaha mengatasi wabak ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!