KTMB kibar Jalur Gemilang tanda solidariti perangi wabak Covid-19

KTMB memulakan langkah mengibarkan Jalur Gemilang sebagai solidariti memerangi penularan wabak Covid-19.
KTMB memulakan langkah mengibarkan Jalur Gemilang sebagai solidariti memerangi penularan wabak Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu (KTMB) memulakan kempen Kibar Jalur Gemilang sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia bersama memerangi penularan wabak koronavirus (Covid-19).

KTMB dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, pengibaran Jalur Gemilang telah dimulakan dengan dinaikkan di ibu pejabat syarikat berkenaan di Jalan Sultan Hishamuddin di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Kamarulzaman Zainal berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat KTMB dalam memberi kesedaran dan galakan dalam menyokong usaha kerajaan.

"Kami berharap kempen ini mampu meningkatkan semangat patriotisme dan moral rakyat khususnya kepada para adiwira barisan hadapan yang sedang dan berjuang mengekang penularan wabak Covid-19.

"Pengibaran Jalur Gemilang juga akan dilakukan di semua stesen rangkaian KTMB di seluruh Semenanjung," katanya menerusi kenyataan berkenaan.

Kamarulzaman berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini orang ramai digalakkan menyahut seruan kempen ini.

"Ketika ini penggunaan telefon pintar amat tinggi kerana majoriti rakyat berada di rumah.

"Justeru, kempen kibar Jalur gemilang ini boleh dilakukan dengan sekecil-kecil cara termasuklah menggunakan imej Jalur Gemilang sebagai ikon atau sticker di aplikasi WhatsApp serta memuat naik status melalui media sosial," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, inilah saatnya rakyat Malaysia menzahirkan semangat juang tinggi sebagai tanda solidariti dengan bersama-sama tabah melalui saat getir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!