Konsert #WONDADiRumah hiburan dalam tempoh PKP
JENAMA kopi siap untuk diminum terkemuka Malaysia, WONDA Coffee membawakan konsert pertama dari rumah yang menampilkan penyanyi terhangat secara langsung dari rumah mereka sendiri.
Konsert tersebut diadakan bagi menyokong arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April nanti.
Konsert pertama seumpamanya di Malaysia itu membawa mesej untuk memastikan rakyat Malaysia terus kekal berada di rumah tetapi masih dapat berhibur dengan cara selamat.
Konsert #WONDADiRumah menampilkan artis Malaysia yang berbeza setiap hari dengan setiap sesi berlangsung sehingga 30 minit di Astro Ria atau ERA IG TV pada jam 6.30 petang bermula 25 Mac hingga 31 Mac.
Antara artis yang terlibat adalah Aizat Amdan, Noh Salleh, Syamel, Zizi Kirana, Haqiem Rusli, Akim dan Stacy.
Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Perniagaan Alternatif dari Etika, Santharuban T Sundaram berpuas hati dengan kerjasama yang baik daripada semua pihak termasuk Astro, artis dan rakan kongsi untuk menjayakan Konsert #WONDADiRumah.
“Dalam kita mengharungi hari yang mencabar, kami percaya ini adalah satu tanggungjawab kami untuk memberikan hiburan ringan kepada penonton kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bukan hanya memberikan hiburan, Etika juga akan memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia yang mematuhi arahan untuk duduk di rumah menerusi cabaran - #WONDADiRumah, rakyat Malaysia berpeluang memenangi e-baucar bernilai RM14,000.
Cabaran harian itu akan diumumkan setiap pagi menerusi akaun Instagram ERA atau secara langsung di radio ERA dan orang ramai perlu memuat naik penyertaan (video atau foto) dengan menandakan @era.je bersama tanda pagar #WONDADiRumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!