Inilah masanya orang kaya tunjuk keprihatinan
KETIKA wabak Covid-19 sedang menjarah dunia sekarang, pelbagai pihak mula menunjukkan keprihatinan mereka dengan menyumbang bermacam jenis bantuan baik dari segi makanan, peralatan dan wang ringgit kepada para petugas kesihatan.
Sama juga senario yang berlaku di negara kita, pelbagai pihak mula menghulurkan bantuan.
Kita semua saling membantu bagi meringankan beban terutamanya barisan hadapan pertahanan kita di Kementerian Kesihatan (KKM). Tapi cukupkah bantuan itu?
Walaupun bermacam-macam bantuan diterima petugas kita, barangan penting seperti baju perlindungan diri (PPE), topeng dan pelindung muka masih tidak mencukupi.
Barangan itu tidak cukup bukan hanya di Malaysia malah di seluruh dunia.
Lebih mengejutkan, enam juta topeng muka yang ditempah kerajaan Jerman hilang di sebuah lapangan terbang di Kenya! Betapa berharganya topeng muka pada waktu ini.
Kita boleh lihat di video tular bagaimana petugas kesihatan kita terpaksa menggunakan apa sahaja bahan yang boleh bagi melindungi diri mereka daripada virus berbahaya itu.
Mereka sebenarnya menggadaikan nyawa demi kita semua.
Ketika krisis inilah sebenarnya orang kaya boleh mengulurkan bantuan yang lebih besar dan bermakna.
Tauke kilang mungkin boleh mengubah kilang-kilang mereka menjadi pembuat barang-barang penting ini.
Seperti yang berlaku ketika Perang Dunia Kedua, kilang-kilang di Amerika Syarikat ditukar menjadi kilang pembuat senjata atau peralatan perang. Ya! Kita sekarang memang sedang berperang dengan musuh yang tidak nampak.
Mungkin juga orang kaya ini boleh mengurangkan beban kerajaan dengan mendermakan sedikit kekayaan mereka bagi membeli alat bantuan pernafasan.
Kita maklum seperti yang berlaku di China, Itali dan Sepanyol sekarang, kekurangan alat bantuan pernafasan akan menyebabkan kematian mangsa Covid-19 meningkat mendadak.
Jangan pula orang kaya raya ini mengurung diri mereka dalam kubu bawah tanah, kapal mewah atau di mana-mana pulau dengan kekayaan mereka!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!