'Hubungi kami jika mahu derma darah'
KUANTAN - Jawatankuasa Derma Darah dan Khidmat Masyarakat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Pahang sedia menjadi pemudah cara bagi membantu orang ramai menderma darah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan.
Pengerusinya, K Kharthigeyan berkata, usaha itu diambil bagi memastikan penderma darah dapat menunaikan tanggungjawab mereka bagi menampung keperluan bekalan darah yang mendesak di hospital termasuk di negeri ini.
Menurutnya, pihaknya boleh menjadi penghubung antara penderma yang mungkin berdepan masalah ekoran PKP ketika ini dengan pihak hospital bagi tujuan berkenaan.
"Mungkin ada individu atau kumpulan tertentu yang berhasrat untuk menderma darah tetapi berdepan kekangan pergerakan, mereka boleh menghubungi kami melalui aplikasi WhatsApp di talian +6590834795.
"Kami akan berhubung dengan mana-mana hospital terdekat untuk mengatur bantuan petugas kesihatan supaya datang ke kawasan berkenaan bagi tujuan itu," katanya ketika dihubungi di sini.
K Kharthigeyan berkata, orang ramai juga disaran menggunakan kemudahan yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mendaftar untuk menderma darah secara dalam talian di https://regdonor.bbis.moh.gov.my untuk rujukan semasa kawalan pergerakan ini.
"Mereka yang berhasrat untuk menderma darah juga disaran menghubungi pihak hospital terlebih dahulu untuk mendapatkan maklumat lanjut atau membuat temu janji sebelum datang ke hospital berbuat demikian," katanya.
Mengulas berhubung langkah KKM untuk menggerakkan petugas kesihatan ke rumah untuk mengambil darah penderma, beliau menyambut baik langkah itu bagi menampung kekurangan bekalan tabung darah ketika ini.
Bagaimanapun menurutnya, langkah itu akan membebankan petugas kesihatan termasuk dari segi kos dan masa.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menggalakkan orang ramai yang ingin menderma supaya menghubungi talian hotline KKM dan akan menggerakkan petugas kesihatan ke rumah dan kediaman untuk mengambil darah penderma.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!