Empat warga India didenda langgar perintah PKP
BATU GAJAH - Empat lelaki warga India mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Gajah hari ini, atas tuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu pemeriksaan polis, Rabu lepas.
S Muthumari, 37; U Ramamoorht, 28; M Dhanushkodi, 41 dan M Lakshmanan, 30, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu telah berada di suatu tempat yang lain di tepi Jalan Besar Pusing iaitu di dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan pada jam lebih kurang 10 malam, 25 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Nazratul Natrah kemudiannya mengenakan denda RM1,000 ke atas setiap tertuduh atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Fairoz Abd Mutalib.
Mengikut fakta kes, empat lelaki terbabit dikesan berada dalam keadaan mabuk dan mencurigakan oleh anggota polis yang menjalankan rondaan.
Pemeriksaan kemudiannya mendapati kesemua tertuduh gagal memberikan penerangan munasabah melakukan pergerakan meninggalkan alamat kediaman.
Di mahkamah sama, seorang peniaga ikan turut membuat pengakuan bersalah atas dakwaan ingkar pematuhan PKP.
Mengikut pertuduhan, Saiful Anuar Mokhatar, 42, didapati bergerak dari satu tempat iaitu di Kampung Tersusun Batu 6, Jalan Tanjung Tualang ke Kampung Bakap Baru pada jam kira-kira 10 malam, 25 Mac lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama beberapa lagi individu yang sedang leka duduk berkumpul di sebuah pondok bertindak melarikan diri selepas dihampiri anggota polis yang membuat rondaan.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh yang diwakili Peguam K Parveen Sharma dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), membayar denda RM1,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal bayar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!