Penduduk Simpang Renggam diminta bertenang, beri kerjasama
JOHOR BAHRU - Penduduk di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid Simpang Renggam, Kluang diminta bertenang dan mematuhi semua arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 12 tengah malam tadi hingga 9 April ini.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, langkah tersebut diambil kerana keadaan yang semakin serius dan bagi mengelak menjadi tidak terkawal berikutan terdapat 61 kes positif koronavirus (Covid-19) atau 73.5 peratus di kedua-dua kawasan itu.
"Dengan pelaksanaan PKPD, beberapa langkah diambil iaitu pihak polis dan tentera akan mengadakan sekatan jalan raya di semua akses masuk dan keluar terutama di jalan utama Simpang Renggam-Benut dan Simpang Renggam-Kluang di kedua-dua hala.
"Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut membantu mengawal keseluruhan kawasan ini.
ARTIKEL BERKAITAN: 61 dari Simpang Renggam positif Covid-19, PKPD dilaksana
Simpang Renggam trending di Twitter
"Semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kawasan ini tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan pengawasan rumah akan dilaksanakan dengan lebih tegas dengan pemantauan ketat oleh anggota pasukan keselamatan, semua aktiviti perniagaan dihentikan, masjid dan surau akan ditutup sepenuhnya.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menjadi penyelaras bantuan makanan dan keperluan asas dan pangkalan perubatan akan diwujudkan di balai raya kampung merangkumi kemudahan fasiliti Pengesanan Kes Aktif (ACD)," katanya.
Semua langkah tersebut katanya membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.
Vidya berkata, penduduk setempat yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 atau 07-7722434.
Bagi pematuhan PKPD pula, beliau berkata, secara keseluruhannya di Johor terdapat peningkatan contohnya semalam kadar pematuhan adalah 96.12 peratus berbanding 95.29 peratus sehari sebelum itu.
"Tiada lagi amaran kepada individu yang masih ingkar terhadap pelaksanaan PKPD. Pihak polis mulai hari ini akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menangkap mereka yang masih berdegil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!