MDSB sita lima premis, gerai penjaja ingkar PKP
SABAK BERNAM - Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menyita lima premis dan gerai penjaja di sekitar daerah ini sempena arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sehingga semalam.
Yang Dipertuanya, Mohd Faizul Fitri Muslil berkata, selain tindakan sitaan, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 29 notis peringatan dan satu notis kesalahan kepada peniaga dan penjaja ingkar arahan kerajaan bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, hasil daripada pemantauan dan rondaan pasukan task force menggabungkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan MDSB yang diwujudkan bagi pematuhan PKP mendapati 90 peratus peniaga mematuhi arahan berkenaan.
"Kita dapati masih ada yang gagal mematuhi Arahan PKP tersebut dengan melakukan kesalahan membuka kedai atau gerai dalam kategori bukan bidang penting dan membenarkan pelanggan berkumpul di premis tanpa membuat penjarakan sosial," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mohd Faizul berkata, sebagai tambahan, walaupun ada restoran yang dibenarkan beroperasi secara bungkus, pihaknya memandang serius peniaga dengan sengaja membiarkan tempatnya menjadi tempat orang ramai berkumpul dan tidak mempedulikan penjarakan sosial.
"Kita memberi peringatan kepada semua pemilik premis supaya mematuhi arahan PKP dan tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil," katanya.
Katanya, rondaan diketuai pasukan polis juga akan dijalankan dua kali sehari di daerah berkenaan.
"Kami juga akan melakukan tindakan sekiranya menerima aduan dan maklumat daripada orang awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!