Tabung CovidSinar kini berjaya kumpul RM388,411.51 sumbangan

Sukarelawan Tabung CovidSinar menyusun peralatan kesihatan yang diterima di pusat pengumpulan yang kini beroperasi di Kumpulan Karangkraf.
Sukarelawan Tabung CovidSinar menyusun peralatan kesihatan yang diterima di pusat pengumpulan yang kini beroperasi di Kumpulan Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kutipan sumbangan Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar) terus meningkat setiap hari hasil keprihatinan rakyat Malaysia terhadap situasi melanda negara susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Sehingga jam 8.30 malam tadi, sumbangan yang dikumpulkan adalah RM388,411.51.

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry mengakui amat terharu dengan sumbangan dan bantuan tidak putus-putus disalurkan sejak Sabtu lalu sekali gus membantu melancarkan lagi pengagihan peralatan diperlukan petugas kesihatan di klinik-klinik kesihatan berkaitan.

Bagaimanapun menurutnya, buat masa ini pihaknya berdepan sedikit kesukaran untuk mendapatkan bekalan peralatan daripada pembekal memandangkan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) semakin diperketatkan.

“Jadi kami terpaksa akur dengan situasi yang berlaku ketika ini dan berharap pihak pembekal dapat menghantar segera peralatan dan barangan keperluan petugas kesihatan bagi memastikan ia tidak terputus bekalan di klinik kesihatan terbabit.

“Semalam kita telah membuat pesanan 3,000 pasang ‘boots cover’ dan 40 unit ‘infrared thermometer’ dan kami masih menunggu barangan tersebut dihantar ke pusat pengumpulan yang kini terletak di Kumpulan Karangkraf,” katanya kepada Sinar Harian di sini sebentar tadi.

Sabtu lalu, Sinar Harian mengaktifkan CovidSinar bagi membolehkan rakyat di negara ini tampil bersama-sama membantu barisan hadapan dalam mengumpulkan dana kelengkapan perlindungan diri dan makanan.

Usaha tersebut juga bertujuan meringankan beban kumpulan terbabit dalam memerangi Covid-19 dan setiap sumbangan daripada segenap rakyat Malaysia akan disalurkan terus kepada barisan hadapan yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025 dan sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 016-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja). #sinaruntukfrontlinerscovid, #rakyatbanturakyat, #kitalahmalaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!