Covid-19: Imam sebak lihat masjid sunyi sepi

Pintu pagar Masjid Kariah Desa Anggerik ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.
Pintu pagar Masjid Kariah Desa Anggerik ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang imam meluahkan rasa sebak ketika melihat masjid sunyi sepi susulan masyarakat perlu akur terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Imam I Masjid Kariah Desa Anggerik, Mohd Rusli Ibrahim turut menyifatkan bahawa ia seperti 'ada sesuatu tidak kena' terutama apabila solat Jumaat juga tidak boleh didirikan di masjid.

"Bagaimanapun, kita perlu patuh pada arahan pemerintah demi keselamatan dan kesejahteraan semua.

"Sebagai imam, sudah pasti saya merasa sebak. Bukan hanya saya, bahkan jika ditanya dengan imam-imam termasuklah jemaah lain, sudah pasti mereka juga mempunyai perasaan sama," katanya.

Mohd Rusli berkata, kebiasaannya setiap hari Jumaat, dia akan membuat persiapan seawal pagi seperti ke Pejabat Agama Islam Daerah untuk mengambil teks khutbah Jumaat.

“Sebagai umat Islam, kita wajib percaya ini semua ialah qadak dan qadar ALLAH SWT dan kita juga perlu yakin semua penyakit itu ada penawarnya.

“Sama-sama kita berdoa supaya wabak (koronavirus) Covid-19 ini berakhir dan kehidupan kita akan seperti sedia kala," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rusli tidak menafikan bahawa semua umat Islam rindu untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid, mengikuti kuliah-kuliah agama dan solat Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, PKP perlu dipatuhi terlebih dahulu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 sebelum aktiviti boleh dilakukan sebagaimana biasa.

“Jika wabak Covid-19 masih tidak mampu dibendung, sudah pasti PKP akan dilanjutkan dan segala aktiviti di masjid akan ditangguhkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Masjid Kariah Desa Anggerik pernah dinobatkan sebagai masjid terindah di Negeri Sembilan dan menjadi lokasi tumpuan bagi musafir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!