Azwan Ali didenda RM17,000 hina petugas Hospital Putrajaya
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Artis kontroversi, Azwan Ali atau lebih dikenali Diva AA didenda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah menghina petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas di Hospital Putrajaya ketika mengendalikan kes Covid-19, Selasa lalu.
Azwan, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.
Dia didakwa menghina petugas berkenaan dengan memuat naik video berdurasi 15 minit menerusi siaran YouTube yang menjejaskan imej hospital itu dan kredibiliti kakitangan serta pegawai perubatan dalam mengendalikan Covid-19, Selasa lalu.
Azwan didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 233(1)(a)Akta Komunikasi Multimedia1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali atau denda RM 1,000 bagi setiap kesalahan yang diteruskan selepas pensabitan.
Azura memerintahkan Azwan menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda dikenakan terhadapnya.
Sementara itu, Azwan turut membuat permohonan maaf dan mengakui kesalahannya di hadapan Azura.
Terdahulu, Azwan dilihat hadir bersama dua pembantunya di Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur pada jam 8 pagi.
Selasa lalu, Hospital Putrajaya membuat laporan polis berhubung penularan video dimuat naik Azwan yang menjejaskan imej hospital itu dan kredibiliti kakitangan serta pegawai perubatan dalam mengendalikan Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!