Lagi ditipu penjual topeng muka, cecair pembasmi kuman di FB

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Dua individu membuat laporan polis mendakwa ditipu dalam urusan jual beli topeng muka dan cecair pembasmi kuman yang diiklankan di laman sosial Facebook dengan nilai kerugian keseluruhan lebih RM5,000 semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata, mangsa pertama melibatkan seorang lelaki berusia 29 tahun membabitkan kerugian RM3,348.

Menurutnya, mangsa mendakwa gagal menerima 100 botol cecair pembasmi kuman dan 80 kotak topeng muka yang dipesan melalui 'pemborong' berbeza pada 18 dan 19 Mac lalu.

"Mangsa tertarik dengan iklan penjualan cecair pembasmi kuman yang diiklankan di Facebook atas nama Pemborong Hand Sanitizer pada 18 Mac lalu.

"Mangsa bersetuju untuk membuat pembelian 100 botol cecair pembasmi kuman itu pada harga RM2,500 dan membuat bayaran penuh ke akaun bank penjual manakala 80 topeng muka pada harga RM848 dipesan melalui pemborong lain selepas melihat iklan di Facebook atas nama sebuah syarikat pemborong pada 19 Mac lalu," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa kedua melibatkan seorang wanita berusia 45 tahun yang kerugian RM1,976 selepas 83 kotak topeng muka yang dipesan gagal diterima sehingga kini.

Menurutnya, mangsa membuat pembelian barangan itu selepas melihat iklan di Facebook atas nama seorang wanita pada 23 Mac lalu.

"Mangsa telah berurusan dengan penjualnya melalui aplikasi WhatsApp dan membuat bayaran penuh secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

"Bagi meyakinkan mangsa, suspek memberikan nombor 'tracking' barang yang dihantar, namun wanita itu syak ditipu apabila gagal menghubungi penjualnya selepas panggilan ke nombor berkenaan telah disekat," katanya.

Mohd Wazir berkata, sehingga laporan polis dibuat semalam, kedua-dua mangsa gagal menerima semua barang yang dipesan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pada masa sama, polis turut mengesan tiga individu termasuk seorang wanita yang dikenal pasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!