Jokowi vs Prabowo, berebut anak muda
Kelompok anak muda atau 'millennial' akan menjadi penentu kepada pemilihan presiden pada kali ini.
Beberapa Lembaga Survei di Indonesia telah melakukan tinjauan berkaitan suara generasi muda terhadap kecenderungan sokongan politik mereka. Kelompok ini tidak mudah didekati dan sukar diramal pendirian politik mereka. Kecenderungan politik mereka sangat dipengaruhi oleh trend-trend tertentu terutama pada saat-saat akhir hari pemilihan.
Siapakah generasi millennial ini? Secara umumnya mereka ini berumur antara 17 hingga 35 tahun. Dalam bahasa mudah, mereka ini lahir pada tahun 1980-an hingga awal tahun 2000. Difahamkan sebanyak 55 hingga 58 peratus penduduk Indonesia berada pada julat usia ini. Data daripada Badan Pusat Statistik (BPS) menunjukkan lebih 150 juta kelompok millennial akan mengundi pada April ini.
Generasi umur ini mempunyai ciri-ciri khusus yang membezakan mereka dengan yang lain. Semenjak dari tahun 40-an mereka dikategorikan sebagai 'baby boomers', generasi X, Y (millennial), Z dan terkini generasi Alpha.
Kelompok millennial juga mewakili generasi strawberi, buah yang cantik namun mudah lembam dan tidak tahan panas. Mereka dilabelkan bersifat mementingkan diri sendiri, menganggap dirinya sahaja penting dan mempunyai keterujaan untuk peribadinya dikagumi umum.
Mereka menjadikan idola bagi setiap individu yang popular dan berjaya dalam hidup sama ada dalam perniagaan, kesihatan atau kerjaya.
Kelompok ini juga mempunyai ciri-ciri positif. Mereka mampu bekerja dengan jadual anjal dan jangka masa 24 jam sehari. Kelompok ini tidak gemar protokol kerja dan berani memberikan pandangan. Mereka mahu kelihatan menawan, memiliki banyak wang dan mementingkan penjenamaan dan penonjolan diri.
Inilah cabaran utama pasukan Jokowi dan Prabowo.
Namun ciri khusus yang ada pada mereka ialah sangat celik internet dan digital. Hampir semua generasi ini adalah pengguna internet yang aktif di Indonesia. Sudah tentu mereka ini mendapatkan maklumat yang segera, kreatif, saling terhubung dan mudah beradaptasi dengan persekitaran. Sudah tentu pasukan Jokowi atau Prabowo yang mahu mendapatkan sokongan kelompok ini perlu benar-benar memahami ciri-ciri khusus mereka.
Kelompok millennial ini berfikiran sangat terbuka, sangat percaya diri, mengambil kira hak minoriti dalam membuat keputusan dan tertarik dengan gaya hidup baharu. Mereka hidup dalam dunia serba laju dan berdikari. Mereka seolah-olah elitis dalam politik baharu dan agak mengambil jarak dalam menentukan pendirian politik.
Bukan sahaja ciri-ciri ini menjadi cabaran kepada calon yang bertanding, malah turut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia / Komisi Pemilihan Umum (KPU). Mereka bimbang pengundi muda yang sedemikian cirinya cenderung untuk menjadi golput (golongan putih); tidak mahu keluar mengundi. Sebab itu KPU turut giat menjalankan kempen dan sosialisasi kepentingan mengundi dalam kalangan pengundi muda.
Bagaimana status Jokowi-Prabowo? Data tinjauan daripada Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC), dalam tempoh terdekat menunjukkan kawasan luar bandar lebih cenderung memilih Jokowi dalam julat yang besar berbanding dengan Prabowo. Prabowo mendapat sokongan yang kuat dalam kalangan millennial bandar. Ini menunjukkan persaingan mereka seimbang kerana geopolitik Indonesia dikategorikan kepada dua ciri kawasan, iaitu bandar dan luar bandar.
Keputusan ini ada hubung kait dengan status penggunaan internet di Indonesia. Kajian SMRC (2018) menunjukkan penggunaan internet di kawasan luar bandar ialah 27 peratus berbanding dengan bandar yang lebih 50 peratus. Peratusan celik internet ini memungkinkan Jokowi jauh meninggalkan Prabowo di kawasan luar bandar, manakala Prabowo mendapat lebih sokongan di kawasan bandar.
Mengapa situasi ini berlaku? Oleh kerana kelompok millennial sangat akrab dengan internet dan pembicaraan politik sama ada berita benar atau “hoax” (olok-olok) menjadi tatapan mereka pada sepanjang waktu. Status Jokowi yang mempertahankan jawatan dan dalam masa sama sedang menjadi presiden sudah tentu akan ada ruang kritikan dan serangan oleh pesaingnya.
Secara logiknya menjadi pembangkang yang menyerang lebih popular daripada pasukan yang mempertahankan.
Semua sudah tahu pasangan Jokowi pada kali ini ialah Ma’ruf Amin, ulama Indonesia. Prabowo pula berpasangan dengan Sandiaga Uno, usahawan Indonesia. Calon timbalan presiden masing-masing tentu sudah mengambil kira kekuatan calon presiden atau setidak-tidaknya melengkapi presiden.
Apabila Jokowi memilih ulama berusia 75 tahun sebagai pelengkap pasukannya, ia memberikan mesej untuk memperkuatkan sokongan dalam kalangan luar bandar. Kawasan luar bandar sudah pun dikuasai Jokowi. Ada kemungkinan ulama ini akan memperteguhkan sokongan millennial terutama yang berada di sekolah pondok.
Apabila Prabowo memilih Sandiaga, tokoh yang lebih rapat dengan millennial, sudah tentu di atas kertas lebih mudah mendapatkan sokongan millennial.
Secara teori, Prabowo boleh memfokuskan gerak kerja di kawasan luar bandar dan Sandiaga memberi keutamaan kepada kawasan bandar. Berbanding dengan Jokowi harus membahagikan gerak kerja di kawasan bandar dan luar bandar. Namun kelebihan Jokowi sebagai “imcumbent” sedia ada dan pasukan relawan yang aktif akan menyaingi situasi ini.
Apakah yang dimahukan millennial? Kajian Indikator Politik Indonesia (2013) menunjukkan pengguna internet memberikan persepsi negatif terhadap ahli politik. Mereka dipersepsikan sebagai orang yang hanya punya kepentingan peribadi, gagal melunaskan janji dan hanya memikirkan penjenamaan diri semata-mata. Anak muda yang dekat di internet semahu-mahunya tidak cenderung dilabel menyokong pasukan tertentu.
Namun millennial juga mahu suara mereka didengari dan calon yang akrab dengan mereka. Memiliki semangat orang muda dan dekat dengan generasi muda. Tidak hairanlah Jokowi ditampilkan sebagai peminat muzik metal, meminati permotoran dan berpakaian jaket. Prabowo juga tidak mahu kalah dengan pidato yang membakar semangat anak muda.
Mereka juga dahagakan politik baharu dengan nilai sejagat. Biarpun beberapa insiden seperti isu Ahok dan kontroversi Surah al-Maidah akhirnya menumbangkan Ahok, tetapi isu wawasan calon diambil kira terutama melibatkan ekonomi rakyat dan penolakan rasuah.
Ke manakah suara generasi millennial? Kepada Jokowi atau Prabowo? Ada beberapa bulan lagi akan menentukan pendirian mereka ini. Jom ke Jakarta menyaksikan pesta demokrasi.
* Budiman Mohd Zohdi, penyelidik sosial berpusat di Jakarta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!