Beri perhatian nasib peneroka Felda terjejas akibat Covid-19
KUANTAN - Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan menggesa kerajaan memberi perhatian dalam membantu warga peneroka dan generasi kedua Felda yang terkesan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini.
Ketua Penerangannya, Asrullah Affendi Abdullah berkata, kerajaan dan Felda khasnya perlu memikirkan solusi terbaik membela kebajikan peneroka Felda yang berada dalam sektor perladangan dan pengeluaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan selepas perintah itu berakhir.
Menurutnya, kerajaan perlu memahami kesan yang ditanggung warga peneroka justeru insentif sewajarnya kepada golongan itu perlu diambil kira dalam mengimbangi rangsangan ekonomi kepada negara.
“MBFM Wilayah Kuantan juga memohon agar pelarasan hutang peneroka Felda turut perlu diambil maklum oleh kerajaan memandangkan situasi penularan wabak Covid-19 yang berlaku kini menjejaskan warga Felda seluruh negara.
“Ditambah dengan kejatuhan harga komoditi sawit ketika ini, pastinya bebanan yang lebih berat bakal ditanggung warga Felda,” katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.
Asrullah Affendi berkata, pihaknya memohon agar penangguhan bayaran balik hutang peneroka, potongan bayaran kembali kos operasi ladang, potongan pinjaman sara hidup dapat ditangguhkan untuk satu tempoh tertentu bagi membantu peneroka Felda seluruh negara.
Menurutnya, gesaan itu bukan untuk menambah bebanan Felda tetapi situasi menang-menang perlu ada di antara kedua-dua pihak sebagai kelonggaran dan membantu warga Felda turut terjejas ekoran situasi semasa negara kini.
“MBFM Wilayah Kuantan yakin dan percaya pihak pengurusan tertinggi Felda juga turut sama membincangkan pekara ini bagi memastikan segala urusan berkaitan kebajikan peneroka Felda dijaga dan dijamin sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya berterima kasih dan menyokong penuh usaha kerajaan dalam membantu rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19 Ini.
Katanya, usaha itu jelas memperlihatkan kesungguhan kerajaan membantu segenap lapisan rakyat dalam tempoh PKP ini.
“MBFM Wilayah Kuantan turut menyeru orang ramai menghulurkan sumbangan kepada Tabung MBFM Prihatin yang dilancarkan MBFM Peringkat Kebangsaan bagi membantu generasi baharu Felda seluruh negara yang terkesan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!