Pemilik beri sewa rumah percuma enam bulan bantu penyewa terkesan Covid-19

NAZZRIZ
NAZZRIZ
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tersentuh dengan penyewa rumah yang terkesan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19), seorang pengurus agensi takaful melaksanakan inisiatif murni dengan memberi sewa rumah percuma selama enam bulan kepada penyewa-penyewanya bermula Mac ini.

Lebih mengharukan, individu berkenaan, Nazrizz Nasir, 35, bersama isterinya, Emma Sullaiman turut memberi jaminan kepada ketiga-tiga penyewa rumah mereka di sekitar kawasan Lembah Klang untuk membantu meringankan kehidupan keluarga terbabit sekiranya mereka memerlukan.

Nazrizz berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau menerima kiriman pesanan WhatsApp daripada dua penyewa rumahnya yang memaklumkan mereka dicutikan tanpa gaji oleh majikan yang terkesan teruk susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bermula 18 Mac lalu.

Menurutnya, beliau menyedari kehidupan kesemua penyewa rumahnya berkemungkinan akan bertambah buruk selepas ini susulan masalah kegawatan ekonomi berlaku akibat Covid-19 dijangka akan berterusan untuk satu tempoh panjang.

"Memandangkan saya tidak perlu membayar pinjaman perumahan saya kepada bank susulan pengumuman moratorium enam bulan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), maka saya bagi percuma juga kepada penyewa-penyewa saya selama enam bulan ini bagi membantu mengurangkan beban disebabkan Covid-19.

Nazrizz mengumumkan pemberian sewa percuma selama enam bulan kepada semua penyewa rumahnya melalui Facebook malam tadi. Gambar kiri, Pendedahan pesanan WhatsApp antara Nazrizz dan salah seorang penyewa rumahnya yang terkesan akibat Covid-19.
Nazrizz mengumumkan pemberian sewa percuma selama enam bulan kepada semua penyewa rumahnya melalui Facebook malam tadi. Gambar kiri, Pendedahan pesanan WhatsApp antara Nazrizz dan salah seorang penyewa rumahnya yang terkesan akibat Covid-19.

"Meskipun keputusan itu menyebabkan saya akan kehilangan pendapatan RM4,600 sebulan, saya tidak kisah kerana bagi saya, pada ketika ini kita perlu sama-sama membantu antara satu sama lain bagi menghadapi cabaran sukar ketika ini.

"Terima kasih juga kepada kerajaan Malaysia dan BNM kerana mengambil langkah bijak membantu mereka yang terkesan akibat Covid-19," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif Nazrizz itu turut diuar-uarkan beliau melalui satu hantaran di laman sosial Facebook pada malam tadi dan menerima respons positif daripada ratusan warganet.

Nazrizz juga turut berharap lebih ramai pemilik rumah sewa mengambil inisiatif sama seperti beliau bagi membantu negara dan mereka yang terkesan dengan wabak penularan Covid-19.

"Apa yang saya harapkan, semua rakyat Malaysia berganding bahu bersama-sama mendepani Covid-19 dan semoga lebih ramai tuan rumah turut sama membantu negara dan mereka yang terkesan dengan wabak itu," katanya.

Pada 25 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan langkah penangguhan bayaran serta penstrukturan semula pinjaman bank membabitkan nilai sekurang-kurangnya RM100 bilion dalam usaha membantu rakyat menghadapi kesan Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata, bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bermula 1 April.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!