Maszlee minta penduduk Simpang Renggam tenang, patuhi arahan

Maszlee - Foto Bernama
Maszlee - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor diminta jangan panik dan risau susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuat kuasa tengah malam tadi di dua kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, segala bantuan makanan dan perubatan akan diberikan kepada setiap isi rumah menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi yang terlibat.

"JKM sedang mengumpul maklumat terkini dan akan hantar bekalan makanan malah Kementerian Kesihatan sendiri akan hantar bekalan ubat yang diperlukan mereka yang sakit, warga tua termasuk untuk mereka yang sedang menjalani rawatan dialisis," katanya menerusi temu bual eksklusif bersama Bernama Radio mengenai PKPD di Simpang Renggam menerusi aplikasi Skype hari ini.

Tambah Maszlee, beliau telah berhubung dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan baginda menyampaikan salam buat penduduk terbabit.

"Baginda sampaikan salam istimewa untuk penduduk kedua-dua kampung dan menitipkan doa yang terbaik untuk semua," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, suasana PKPD agak baharu serta mengejutkan dan beliau meminta penduduk mematuhi segala peraturan dan arahan daripada pihak berkuasa demi kebaikan semua.

"Saya rasa mereka dah biasa dengan Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini cuma mereka agak terkejut kawasan mereka diisytihar zon merah sehingga tidak ada yang boleh keluar dan masuk, namun saya kira kedua-dua penduduk kampung itu akan berikan kerjasama yang baik," ujarnya.

Sementara itu, Maszlee berharap media membantu penduduk kawasan terbabit dengan menyalurkan berita yang informatif dan bermotivasi.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pihak media, saya amat mengharapkan supaya tidak mengeruhkan keadaan dengan mengambil beberapa berita daripada dalam yang akan menimbulkan kegusaran kepada penduduk sendiri. Saya yakin kita boleh bertindak sebagai satu keluarga besar dan menitipkan doa dan kata-kata semangat kepada semua," jelasnya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan mengumumkan dua kawasan di Simpang Renggam dekat Kluang, menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19.

PKPD berkenaan melibatkan 3,570 penduduk dari 650 keluarga. - Bernama'

ARTIKEL BERKAITAN: 61 dari Simpang Renggam positif Covid-19, PKPD dilaksana

PKPD: MB Johor beri jaminan bekalan makanan mencukupi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!