Ketua Menteri, Exco Pulau Pinang sumbang sebulan gaji

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersama semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang bersetuju mendermakan sebulan gaji mereka untuk Tabung Covid-19 Pulau Pinang.

Kon Yeow berkata, keputusan itu menunjukkan kesungguhan barisan pimpinan kerajaan negeri membantu mengurangkan kesan akibat penularan wabak Covid-19 khususnya di negeri ini.

“Kita akan bersama ketika masa senang dan susah. Exco kerajaan negeri termasuk saya bersetuju menyumbang sebulan gaji kami untuk Tabung Covid-19 negeri,” katanya pada sidang akhbar menerusi Facebook Live hari ini.

Sebelum ini kerajaan Pulau Pinang menubuhkan Tabung Covid-19 bagi membantu golongan yang terjejas dengan penularan wabak itu di negeri itu.

Kon Yeow sebelum ini berkata, tabung itu ditubuhkan susulan pihaknya menerima tawaran daripada pelbagai pihak terutama swasta yang ingin turut sama menyumbang kepada golongan memerlukan.

Katanya, dengan adanya tabung berkenaan akan memudahkan pelbagai pihak yang ingin menyalurkan sumbangan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, ketika ini kadar pematuhan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini telah mencapai 94 peratus.

Katanya, semua rakyat di negeri perlu memberi kerjasama dan komited menjayakan misi kerajaan dalam menangani wabak ini.

"Dalam pertemuan bersama-sama Ketua Polis Negeri dan Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pulau Pinang pagi tadi saya dimaklumkan mengenai kadar pematuhan PKP yang semakin baik.

“Kita perlu lebih komited untuk mencapai kadar 100 peratus dan menjadi yang terbaik di seluruh negara. Saya yakin kita mampu capai dengan mematuhi PKP yang sudah memasuki hari ke-10 hari ini," katanya.

Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kawalan di bawah PKP akan diperketatkan ke setiap daerah bagi mencapai hasil yang lebih berkesan.Katanya, jawatankuasa tindakan telah dimobilisasi ke setiap daerah supaya pelaksanaan PKP akan lebih baik.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri dan pihak penguatkuasa akan memastikan bekalan makanan tidak akan terputus.Katanya, kerajaan negeri akan turut memperkenalkan kaedah pengagihan barang makanan dan keperluan asas secara lebih sistematik kepada mereka yang memerlukan.

“Sebelum ini, pengagihan dilakukan oleh setiap wakil rakyat, kini kerajaan negeri mengambil inisiatif dalam menstruktur semula kerja-kerja pengagihan.

“Inisiatif ini akan mengurangkan pergerakan, terutama pergerakan yang tidak teratur sepanjang perintah ini dikuatkuasakan.

“Ia juga akan menghalang individu yang terbabit dalam kerja pengagihan daripada terdedah kepada jangkitan wabak tanpa perlindungan sepatutnya selain sebarang kerugian disebabkan kerja-kerja pengagihan yang tidak dirancang dengan sepatutnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!