Muhyiddin umum pakej bantuan khas tangani kesan Covid-19 bernilai RM250 bilion
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion untuk membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.
Jelas beliau, daripada jumlah yang diumumkan itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.
Jumlah itu adalah tambahan sebanyak RM20 bilion lagi telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.
"Seperti yang saya janjikan, hari ini saya akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau Prihatin berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada anda semua.
"Pakej Prihatin ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua. Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan.
"Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang. Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini.
"Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind," katanya ketika membentangkan pakej tersebut yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen di sini hari ini.
Menerusi teks ucapan setebal 16 muka surat itu, Muhyiddin berkata, keutamaan kerajaan pada waktu ini ialah untuk membendung penularan wabak Covid-19.
"Bagi meningkatkan lagi keupayaan KKM, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi Covid-19, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta," ujar beliau.
Muhyiddin yang mengambil masa kira-kira 40 minit membaca teks ucapan tersebut memaklumkan bahawa langkah yang telah diperkenalkan dalam pakej itu bertujuan untuk memastikan aktiviti ekonomi negara berterusan, terutamanya dengan penyaluran tunai melalui Bantuan Prihatin Nasional.
"Kerajaan turut memberi tumpuan kepada aktiviti pelaburan domestik yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan mengekalkan pekerjaan," kata perdana menteri.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pakej Prihatin merupakan manifestasi kerajaan yang mengambil berat akan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
"Kerajaan akan membuat suntikan fiskal langsung berjumlah RM25 bilion untuk membantu mengurangkan beban rakyat dan pemilik perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang sukar ini.
"Strategi dan langkah yang akan dilaksanakan adalah berdasarkan kepada keupayaan fiskal semasa dan ketersediaan mudah tunai pasaran kewangan domestik yang mencukupi," ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan akan sentiasa memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi.
"Hampir semua langkah ini adalah secara one-off supaya tidak membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana. Langkah ini penting untuk memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan.
"Sehubungan itu, Kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang," kata beliau.
Selain itu, Muhyiddin juga telah mengarahkan semua kementerian mengkaji semula belanjawan masing-masing untuk mencari penjimatan agar ianya dapat digunakan untuk menampung langkah-langkah jangka sederhana bagi menangani wabak virus itu.
"Saya juga telah mengarahkan Kementerian Kewangan melalui Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) untuk memastikan pakej Prihatin bernilai RM250 billion ini sampai kepada saudara dan saudari semua dengan cepat.
"Saya tahu saudara-saudari yang berada di rumah-rumah panjang di Sarawak, di penempatan orang asal, di kawasan- kawasan yang jauh di pedalaman di segenap ceruk rantau negara ini, mungkin bimbang bantuan yang disediakan oleh kerajaan lambat sampai," ujar beliau.
Untuk itu, katanya, Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, khususnya di Sabah dan Sarawak, untuk pastikan semua bantuan yang disediakan oleh kerajaan sampai dengan cepat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!