Petugas hadapan terima elaun khas, penjawat awam bayaran 'one-off'

Barisan hadapan petugas giat mengambil sampel dan keterangan daripada individu yang datang untuk saringan COVID-19 hari ini. FOTO: BERNAMA
Barisan hadapan petugas giat mengambil sampel dan keterangan daripada individu yang datang untuk saringan COVID-19 hari ini. FOTO: BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Selain petugas barisan hadapan dari sektor kesihatan, mereka yang terlibat dalam usaha menangani wabak koronavirus (Covid-19) menerima khabar gembira apabila kerajaan memanjangkan peningkatan dan pemberian elaun khas kepada petugas lain.

Petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak itu akan menerima elaun khas RM400 yang ditingkatkan kepada RM600.

Bagi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan akan menerima elaun khas RM200 sebulan.

Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak Covid-19 berakhir.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion yang disiarkan secara langsung di media elektronik.

Bagi menghargai sumbangan penjawat awam yang terus setia menjalankan amanah kepada negara, kerajaan turut mengumumkan bantuan tunai RM500 secara ‘one-off’ kepada lebih 1.5 juta penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk mereka yang bekerja secara kontrak pada April ini.

"Sumbangan pesara kerajaan juga tidak dilupakan. Dengan ini, kerajaan akan menyalurkan bantuan sebanyak RM500 secara one-off kepada lebih 850,000 pesara kerajaan juga pada bulan April 2020," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!