PKP: Kementerian cadang pasar pagi, tani dibuka semula
PUTRAJAYA- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan mencadangkan supaya pasar pagi dan pasar tani dibuka semula, dengan syarat bersesuaian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah lambakan hasil pertanian yang dihadapi oleh pengeluar industri makanan, selepas kedua-dua pasar berkenaan tidak dibenarkan beroperasi sejak PKP bermula pada 18 Mac.
"Pengusaha pertanian terutamanya ikan dan sayur kini berhadapan dengan lambakan produk, apabila hanya pasar raya sahaja dibenarkan dibuka sejak PKP bermula," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan wakil industri makanan, di kementeriannya di sini hari ini.
Kiandee berkata, cadangan berkenaan akan dibangkitkan dalam mesyuarat khas menteri-menteri berhubung PKP esok.
Malaysia kini sedang melaksanakan PKP sehingga 14 April.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!