Pemuda lemas ditemukan di Sungai Marang
MARANG - Mayat seorang pemuda yang lemas di Sungai Marang berjaya ditemukan pasukan penyelamat selepas operasi mencari mangsa mengambil masa hampir 24 jam di sini, petang, semalam.
Mangsa, Abu Bakar Sidek, 28, ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu pada jarak lebih lima meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjun.
Menurut sumber, mangsa dilaporkan lemas kira-kira jam 4.20 petang kelmarin terjatuh ke dalam sungai gara gara terkejut apabila terserempak anggota polis yang mengadakan operasi.
Ketua BBP Marang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Yahaya Hanafi, tindakan lelaki terbabit bagaimanapun membawa padah apabila dia dipercayai gagal mengawal diri sebelum dihanyutkan arus.
“Mangsa dalam keadaan tercungap-cungap meminta tolong dan cuba dibantu dua lelaki dalam perjalanan balik menangkap ikan. Namun, gagal apabila mangsa didapati hilang kira-kira jam 4.30 petang,” katanya kepada Sinar Harian.
Yahaya berkata, operasi mencari dan menyelamat dilakukan selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian petang kelmarin.
Menurutnya, selain anggota bomba, operasi mencari dan menyelamat turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan polis membabitkan seramai 28 anggota dan pegawai.
"Usaha mencari dan menyelamat mangsa disambung jam 8 pagi selepas operasi dihentikan jam 9 malam kelmarin dan mangsa kemudiannya berjaya ditemui petang semalam," katanya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dibawa ke jabatan forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi urusan bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!